Kota Kinabalu : Garis panduan khusus akan diperkenalkan bagi memastikan semua pihak terutama pelancong luar yang mengunjungi masjid dapat mematuhi etika dan adab ketika mengunjungi rumah ibadat di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, garis panduan itu turut melibatkan jawatankuasa dan juga petugas masjid.
Katanya, langkah itu diambil susulan insiden tular berkenaan dakwaan petugas Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang menghalang pelancong mengambil gambar tanpa membuat bayaran baru-baru ini.
“Saya akan dapat maklumat daripada pengarah (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah-JHEAINS). Semalam kita sudah berbincang, kita akan buat garis panduan.
“Garis panduan bukan saja untuk jawatan kuasa masjid yang menyelaras, ia juga garis panduan untuk pelancong yang datang ke masjid. Kedua-duanya perlu ada etika, ada adab dan adat.
“Kedua-duanya perlu mematuhi garis panduan ini dan InsyaAllah kita akan tambah baik mana yang perlu. Intinya ialah siapa saja yang datang, kita sambut dengan penuh santun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) kepada anak anak Sabah yang menuntut di IPTA/IPTS di sini hari ini.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, kepentingan memelihara adab dan adat dalam setiap interaksi, terutama di kawasan rumah ibadat yang menjadi tumpuan pelancong perlu diberi perhatian sebaiknya.
“Sama ada kita di luar masjid mahupun di dalam masjid lebih utama. Untuk kita mematuhi, memelihara adat dan supan santun. Siapa saja yang datang atau yang menyambut, sudah pasti kita mesti menyambut tetamu kita dengan sopan, santun atau adat dan adab.
“Kerana ini ajaran agama. Ajaran agama ini ada tiga. Satu akidah, Kedua syariah dan Ketiga adab. Ini yang sangat penting kita jadikan garis panduan.
“Saya sudah minta Pengarah JHEAINS untuk membuat garis panduan kepada para pelancong. Dan juga kepada jawatan kuasa yang menyelaras kedatangan para tetamu kita,” katanya.
Beberapa hari lalu, tular video berkaitan dakwaan petugas masjid yang mengasari pelancong yang datang ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk merakam gambar di luar masjid. – SABAH MEDIA