HomeUtamaProjek Kompleks Sukan Kota Marudu dijangka siap Mei 2025

Projek Kompleks Sukan Kota Marudu dijangka siap Mei 2025

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Projek Kompleks Sukan Kota Marudu, yang berdepan dengan pelbagai cabaran sejak dimulakan pada 2020, dijangka akan siap sepenuhnya pada Mei 2025, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin.

Susulan isu penularan video mengenai Projek Kompleks Sukan Kota Marudu telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Sabah, Ellron tampil memberikan penjelasan berhubung situasi terkini dan cabaran yang dihadapi sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

Beliau berkata, projek tersebut dimulakan pada tahun 2020, ketika negara sedang berhadapan dengan wabak COVID-19. Walaupun kontrak telah diberikan kepada syarikat pelaksana, beberapa masalah teknikal dan logistik telah menghalang kemajuan projek. Ini termasuk kekurangan bahan seperti polyfelt-50 untuk penambahbaikan tanah, kelulusan pelan dari Majlis Daerah Kota Marudu, dan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada Disember 2022, banjir besar yang melanda daerah Kota Marudu menyebabkan kerosakan di tapak pembinaan. Ahli Jawatankuasa Pemandu yang bermesyuarat pada 6 Februari 2023 yang dipengerusikan oleh Datuk Mansur Asun Setiausaha Tetap KBSS, telah mencadangkan perubahan kerja untuk menaikkan aras tapak bagi mengelakkan kebanjiran di masa depan. Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM1.28 juta untuk kerja-kerja tambahan ini yang bermula pada September 2023,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Ellron, salah satu cabaran utama yang dihadapi adalah cuaca buruk yang berterusan di daerah Kota Marudu, yang menyebabkan kesulitan dalam kerja-kerja tanah.

“Tanah lembap tidak sesuai untuk menimbun tapak kompleks sukan. Selain itu, kekurangan bekalan batu kasaran di daerah tersebut turut memperlambatkan pembinaan, berikutan permintaan tinggi untuk projek infrastruktur jalan raya,” jelasnya.

Walaupun menghadapi pelbagai halangan, Ellron mengesahkan bahawa prestasi fizikal projek kini berada pada tahap 80 peratus.

Katanya, antara kerja yang telah siap termasuk bangunan pejabat, pagar keliling, dan tempat letak kereta, sementara asas trek sintetik telah siap 90 peratus. Trek sintetik yang diimport dari Australia kini berada di Sabah dan akan dipasang sebaik cuaca mengizinkan.

“Kompleks Sukan Kota Marudu dijangka akan siap sepenuhnya pada Mei 2025,” ujarnya.

Justeru beliau mengingatkan golongan muda di Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tidak tepat berkenaan isu belia dan sukan yang tersebar di media sosial.

Sehubungan dengan itu, Ellron turut menegaskan akan memberi komitmen penuh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk terus menyokong pembangunan belia dan sukan di negeri ini.

“Orang ramai yang mempunyai cadangan atau isu berkaitan belia dan sukan digesa untuk berhubung terus dengan kementerian bagi mendapatkan penjelasan yang lebih jelas,” tegas beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia Lancar Projek Bandar Wakaf di Gaza

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular