Oleh ERDIE AB WAHID
Sepanggar : Penduduk khususnya umat Islam di Taman Salut Perdana di sini meminta agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mempertimbangkan untuk mengadakan solat Jumaat di Surau Al-Mustafa KKIP V19.
Permintaan penduduk itu disuarakan kepada Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud pada majlis berkhatan beramai-ramai di sini pagi tadi.
Kemudahan itu juga dilihat dapat memberi kemudahan kepada umat Islam di kawasan berkenaan dan sekitarnya.
![](https://i0.wp.com/sabahmedia.com/wp-content/uploads/2025/01/Picsart_25-01-29_11-40-57-017.jpg?resize=696%2C464&ssl=1)
Mustapaha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, kawasan berkenaan kini telah mencapai lebih 500 penduduk umat Islam dan dilihat sesuai untuk dilaksanakan solat Jumaat.
“Kita di Pejabat Parlimen Sepanggar banyak menerima permohonan daripada lokaliti terutama yang telah dibenarkan mengadakan solat Jumaat semasa pandemik COVID-19 dan ada beberapa lokasi yang saya fikir perlu dipertimbangkan oleh pihak JHEAINS dan juga Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Sebagai contoh di surau ini, sebab saya dimaklumkan surau di kawasan ini saja lebih kurang 500 penduduk Islam dan yang paling dekat adalah Masjid Politeknik, disana saya dikhabarkan tidak menampung jemaah yang agak ramai
“Jadi saya fikir perlu dipertimbangkan oleh JHEAINS supaya surau ini dapat dibenarkan mengadakan solat Jumaat, yang ini saya akan cuba tulis surat kepada pengarah JHEAINS untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, seramai 70 peserta terdiri dari kanak-kanak sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai menyertai acara itu.
Mustapha berkata, acara yang diadakan setiap tahun itu merupakan pengisian sempena musim cuti sekolah.
“Hari ini saya telah merasmikan program berkhatan beramai-ramai Parlimen Sepanggar yang memang kita adakan setiap tahun, kali ini kita adakan di Surau Al-Mustafa ini di DUN Karambunai.
“Ini melibatkan lebih kurang 70 peserta yang menyertai program ini, dan saya ucapkan tahniah kepada jawatankuasa surau yang telah memberi kerjasama yang amat baik bersama Parlimen Sepanggar untuk mengadakan program ini,” katanya. – SABAH MEDIA