KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyelar tindakan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang seolah-olah membela pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang menggunakan istilah ‘palui’ terhadap rakyat dan pemimpin Sabah.
Menurut Nizam, istilah itu yang bermaksud ‘bodoh’ dalam bahasa tempatan merupakan satu penghinaan besar kepada rakyat Sabah, yang selama ini mengutamakan keharmonian serta budaya politik santun.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan sikap tidak menghormati rakyat Sabah serta budaya kita, yang jauh berbeza daripada politik yang sering dijaja Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyokong tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menempelak kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana ia merupakan usaha mempertahankan maruah rakyat negeri ini.
“Amat mengecewakan apabila pemimpin seperti Datuk Suhaimi memilih untuk membela pihak yang menghina rakyat Sabah, malah menuduh Hajiji menggunakan isu ini sebagai alat politik,” katanya.
Nizam juga menegaskan bahawa tindakan UMNO Sabah bukan sahaja tidak berasas, malah membuktikan parti itu sanggup berpihak kepada Bersatu, seteru politik mereka demi memburukkan kerajaan negeri.
“Situasi ini amat janggal dan jelas menunjukkan UMNO Sabah sanggup melakukan apa sahaja untuk menyerang kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa kerajaan GRS-PH Plus terus membawa pencapaian bermakna kepada rakyat Sabah, termasuk dalam sektor pendidikan dan kebajikan.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program BUDI, BAKTI, BAGUS, dan BAIK untuk membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, selain subsidi penerbangan RM600 seorang untuk pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak, dan Labuan. Subsidi pengangkutan RM300 untuk pelajar dalam negeri juga telah meringankan beban keluarga,” katanya.
Selain itu, program Sentuhan Kasih Rakyat yang menyediakan bantuan RM300 sebulan selama 12 bulan kepada keluarga miskin serta pembinaan Rumah Mesra SMJ secara percuma bagi golongan memerlukan, menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.
Dalam aspek pembangunan, Nizam berkata kerajaan Sabah telah merangka pelan tenaga boleh diperbaharui untuk menyelesaikan isu bekalan elektrik dan air dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
“Projek seperti Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, gas engine di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Sipitang, serta solar farm di 15 lokasi di seluruh Sabah akan meningkatkan kapasiti grid bekalan elektrik negeri ini. Selain itu, loji rawatan air baharu akan memastikan bekalan air mencukupi untuk rakyat,” jelasnya.
Nizam menegaskan bahawa kerajaan GRS akan terus komited membawa kemajuan kepada rakyat Sabah dan menyeru semua pihak agar menghormati maruah serta budaya negeri ini.
“Kami berharap pemimpin seperti Datuk Suhaimi tidak mengutamakan permainan politik sehingga sanggup memihak kepada pihak yang menghina rakyat Sabah,” katanya.