HomeUtamaMalaysia Lancar Projek Bandar Wakaf di Gaza

Malaysia Lancar Projek Bandar Wakaf di Gaza

Read Time:2 Minute, 21 Second

PUTRAJAYA: Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama di ASEAN yang membangunkan Bandar Wakaf di Gaza melalui Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza. Projek berimpak tinggi ini dijangka dilancarkan dalam tempoh terdekat selepas bulan Ramadhan.

Projek ini berada di bawah naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejajar dengan peranan beliau sebagai peneraju ASEAN yang menekankan solidariti serta pembelaan terhadap rakyat Palestin.

Langkah ini bukan sahaja bertujuan membantu membangunkan semula Gaza pasca peperangan, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai penyokong utama perjuangan Palestin.

Komponen Utama Pembangunan

Pelbagai pihak telah menyumbang kepada pembangunan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, termasuk:

  • 14 Blok Apartmen Wakaf – Mewakili semua negeri di Malaysia.
  • Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor, dan Menara Tangki Air – Dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor.
  • Sekolah Malaysia di Bandar Wakaf Gaza – Ditaja oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang diketuai oleh Tuan Muhammad Nadir Al-Nuri, yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.
  • Malaysia Central Kitchen dan Apartmen Wakaf Putrajaya – Ditaja oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) untuk menyediakan bantuan makanan harian kepada penduduk Gaza.
  • Apartmen Wakaf oleh Negeri-Negeri Lain – Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang turut menyertai usaha ini.

DYMM Sultan Selangor juga telah menitahkan pelancaran Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024 sebagai sebahagian daripada usaha negeri dalam membangunkan Gaza. Kerajaan negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta pelbagai agensi kerajaan turut menyatakan komitmen mereka dalam menjayakan projek ini.

Sokongan Padu dan Kos Projek

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia yang juga merupakan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza, Dato’ Sani Araby, pembangunan bandar wakaf ini bukan sekadar inisiatif bantuan tetapi juga model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh di peringkat global.

“Ini adalah himpunan hati dan solidariti Malaysia merangkumi semua bangsa dan agama untuk membina semula Gaza,” katanya.

Beliau optimis bahawa projek ini dapat direalisasikan dengan sokongan Perdana Menteri, menteri-menteri, kerajaan negeri, agensi, badan korporat, dan NGO. Anggaran kos projek ini adalah RM120 juta dengan tanah wakaf seluas 87 ekar di Khan Yunis yang diperoleh melalui perjanjian pada Februari 2023 semasa Misi Khas MAPIM.

Sehingga kini, sekretariat projek telah menerima persetujuan wakaf bernilai RM40 juta. Pengalaman MAPIM bersama rakan sinergi CGM dan Gagasan MyAqsa Defender, yang telah membina 10 masjid di Gaza serta membantu membangunkan hospital, sekolah, dan ruang ekonomi, menjadi aset penting dalam kesinambungan projek ini.

“Malaysia telah berjaya menghantar bantuan kemanusiaan secara berterusan ke Gaza, termasuk misi khas merawat pesakit dan membantu keluarga Nadir Al-Nuri. Kini, Malaysia komited untuk membangunkan Gaza secara mampan dan jangka panjang dengan konsep wakaf,” tambah Dato’ Sani Araby.

Pelancaran rasmi projek ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan dijangka menjadi peristiwa bersejarah dalam hubungan diplomasi dan kemanusiaan Malaysia-Palestin. Projek ini turut memperkukuh agenda Malaysia MADANI dalam memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia di Palestin.

RELATED ARTICLES
Utama

Dakwaan Esteel tangguh pelaburan di Sabah tidak benar – Phoong

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular