Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menggesa pengguna agar menggunakan saluran rasmi bagi membuat aduan berkaitan bekalan barangan keperluan dan isu kepenggunaan.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, sebarang kemusykilan atau aduan harus disertakan dengan data yang tepat dan sahih, termasuk maklumat lengkap seperti lokasi, tarikh, dan masa kejadian, bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.
“Aduan boleh dibuat melalui aplikasi Ez ADU, laman sesawang KPDN, atau Biro Pengaduan Awam. Kerjasama pengguna amat diperlukan bagi memudahkan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) & Advokasi Kepenggunaan di Gelanggang Futsal Taman Keramat, Likas, hari ini.
Perasmian PJRM disempurnakan oleh Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali.
Hadir sama Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dan Pembantu Menteri Kewangan II Datuk Tan Lee Fat.
Menurut Shahril antara aduan yang sering diterima termasuklah kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta harga yang mengelirukan.
“Sebagai contoh, harga dalam menu restoran berbeza dengan harga yang dipaparkan di dinding. Peniaga perlu mengemas kini harga dengan jelas kerana pengguna berhak mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.
Tambah Shahril, pengadu perlu memahami bidang kuasa KPDN sebelum membuat aduan. Lesen premis perniagaan, misalnya, bukan di bawah KPDN tetapi di bawah agensi lain. KPDN hanya menguatkuasakan akta berkaitan barangan kawalan seperti gula, minyak dan tepung, serta Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.
“Namun, KPDN turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Jika terdapat kes di bawah bidang kuasa KPDN yang disalurkan melalui jabatan lain, ia akan dirujuk kepada pihak KPDN untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Mengulas mengenai kaedah membuat aduan, beliau menjelaskan bahawa pengguna boleh melaporkan isu secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat KPDN.
“Selepas aduan diterima, siasatan dan risikan akan dijalankan sebelum tindakan diambil, sama ada dalam bentuk kompaun atau membawa kes ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Menurut Shahril lagi, jika pengguna masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan, mereka boleh memanjangkan kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dengan kos serendah RM20 bagi membuka fail kes.
“Tribunal ini diwujudkan bagi memudahkan pengguna mendapatkan keadilan dalam urusan jual beli tanpa perlu melalui proses mahkamah yang rumit,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar para peniaga menjalankan perniagaan secara beretika bagi mengelakkan tekanan kepada pengguna akibat penjualan tidak beretika.
Untuk rekod, KPDN Sabah mempunyai 205 anggota penguatkuasa di seluruh negeri yang bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan.
Mengenai PJRM, Shahril berkata program berkenaan adalah program khusus untuk memberi kemudahan dan juga memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati pembelian dalam kadar harga yang berpatutan dan lebih murah daripada biasa.
Setakat 30 Januari 2025, sebanyak 149 penganjuran PJRM telah dilaksanakan di negeri ini iaitu 119 secara dalam premis, bergerak (27) dan premium (tiga).
“KPDN Sabah sangat berharap semoga PJRM di Sabah akan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Para pengguna diharap lebih cakna dalam menghadapi suasana ekonomi yang sangat mencabar masa kini.
“Masyarakat mesti lebih sedar bahawa berbelanja secara berhemah sangat penting dan mengamalkan disiplin menyusun keutamaan perbelanjaan bulanan,” kata Shahril.