Temerloh : Sabah FC menaruh harapan menamatkan penantian selama 22 tahun untuk beraksi di pentas akhir Piala Malaysia apabila bertemu Sri Pahang FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam esok.
Penolong Ketua Jurulatihnya, Alto Linus berkata, anak-anak buahnya tidak mempunyai banyak pilihan kecuali bekerja keras untuk menang, selepas terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Likas, 18 Januari lalu.
Katanya, inilah masa yang sangat dinanti-nantikan bagi memastikan impian seluruh rakyat Sabah melihat mereka beraksi di pentas akhir Piala Malaysia.
“Malam esok misi utama kita sudah semestinya untuk ke fperingkat akhir, Sabah FC sudah lama tidak ke pentas akhir, kali terakhir pada 22 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Alto berkata, sudah tentu Sabah hanya mahukan kemenangan dan pemain seharusnya mempamerkan persembahan menyakinkan sekali gus melakukan terbaik untuk layak ke final Piala Malaysia.
“Persembahan Sabah FC perlu lebih baik daripada aksi separuh akhir pertama di Likas dulu.
“Kita mahu siapa saja pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan ini, mampu melakukan yang terbaik untuk pasukan serta memikul seluruh harapan rakyat Sabah,” katanya.
Menurutnya, biarpun bakal berdepan tentangan sengit daripada lawan, Sabah FC fokus mencapai kemenangan biarpun bukan beraksi laman sendiri untuk menewaskan skuad Tok Gajah.
“Sudah semestinya harapan kita adalah untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan ini…Tetapi ini bukan tugas mudah.
“Kita juga tahu pasukan Sri Pahang FC mempunyai matlamat sama sudah pasti mereka ada rancang tersendiri untuk perlawanan ini, lebih lagi mereka bermain di tempat sendiri,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC