KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk mewujudkan garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri majlis perayaan bukan Islam di Sabah.
Masidi berkata, sejarah panjang masyarakat Sabah yang hidup dalam keharmonian antara agama membuktikan bahawa panduan tersebut tidak diperlukan.
Menurut Masidi, masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama telah lama mengamalkan kehidupan bersama tanpa sebarang masalah berkaitan akidah, termasuk dalam menyambut perayaan bersama saudara-mara yang bukan beragama Islam.
“Saya percaya, masyarakat Islam di Sabah sudah cukup yakin dengan akidah mereka sendiri. Tidak perlu bergantung kepada panduan luar, kerana agama Islam sudah jelas menggariskan batasan dalam pergaulan ketika menghadiri perayaan bersama mereka yang bukan Islam melalui Al-Quran dan Sunnah,” ujar Masidi.
Beliau juga menyatakan bahawa garis panduan seperti itu hanya akan menimbulkan kegusaran dalam masyarakat dan berpotensi merosakkan keharmonian yang sudah lama terjalin antara agama di negeri ini.
Masidi mengingatkan bahawa, di Sabah, tidak ada masalah dalam pergaulan antara agama, malah beliau sendiri mempunyai saudara mara yang bukan Islam.
“Sebagai umat Islam, kita yakin dengan ajaran agama kita. Kita tidak perlukan panduan luar kerana segala batasan telah dinyatakan jelas dalam ajaran agama Islam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Demokratik Liberal pada Ahad (9 Feb).
Masidi turut menyokong keputusan Kabinet Persekutuan, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menolak cadangan mewujudkan garis panduan tersebut.
Menurutnya, tiada keperluan untuk mencipta panduan yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum yang sudah terbina di Malaysia.
“Kita harus mengutamakan usaha untuk merapatkan hubungan antara kaum. Seperti yang ditegaskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri perayaan bukan Islam, khususnya di negeri Selangor,” tambahnya.
Masidi berpendapat bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan yang menolak cadangan itu adalah satu langkah yang tepat, kerana ia memberi keyakinan kepada masyarakat untuk menguruskan diri mereka sendiri dalam menyambut perayaan yang dianjurkan oleh masyarakat bukan Islam.
“Saya rasa kita lebih bijak dalam hal ini daripada apa yang sesetengah pihak fikirkan,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa di Sabah, dengan masyarakat yang terdiri daripada keluarga berbilang agama, tidak wajar sebarang garis panduan diwujudkan kerana ia hanya akan menjejaskan hubungan baik antara saudara-mara yang berbeza agama.