Oleh J.EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: “Saya mahu denda saja, tiada penjara,” kata seorang warganegara Pakistan yang mengaku bersalah atas kesalahan memasuki Sabah tanpa pas yang sah dan menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara.
Zawar Ali, 21, ditahan pada 14 Januari di sebuah kedai runcit di Kg. Sonduou, Kepayan, setelah didapati memasuki negeri ini tanpa pas yang sah.
Atas kesalahan ini, Zawar dikenakan denda RM3,000 atau hukuman penjara selama empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Zawar juga didenda sebanyak RM500 atau tuga bulan penjara, jika gagal membayar denda, kerana melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara yang dikeluarkan kepadanya, di mana tertuduh hanya dibenarkan berada di Semenanjung Malaysia sahaja.
Difahamkan, tertuduh telah membayar denda. Bagaimanapun, tertuduh tetap dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran.
Zawar adalah antara 30 orang pendatang asing tanpa izin yang mengaku bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain atas pelbagai kesalahan imigresen.
Sementara itu, tiga warganegara Indonesia dihukum penjara selama 12 bulan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negeri ini.
Fitri Yani Abdul Rejab, Sri Hartati Sanjung dan Andi Sago ditahan pada 28 Januari di Keningau selepas didapati tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara mereka telah tamat antara tahun 2010 dan 2012.
Mereka tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan selama 12 hingga 14 tahun.
Seorang lagi individu dihukum penjara selama 10 bulan atas kesalahan memasuki negeri ini tanpa pas yang sah dan kembali semula selepas diusir, juga tanpa pas yang sah.
James Sampang @ Nasir Sampang ditahan pada 25 Januari di tapak pembinaan Toyota Service Centre dalam daerah Beaufort.
Manakala, seramai 25 orang dihukum penjara selama empat bulan atas kesalahan memasuki negeri ini tanpa pas yang sah.
Kesemua tertuduh ditahan antara 25 dan 28 Januari di pelbagai lokasi seluruh Sabah, termasuk rumah kongsi pekerja di tapak pembinaan Jalan Raya Pan Borneo di Beaufort.
Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman masing-masing.
Pegawai Pendakwa Aizah Minin mengendalikan pendakwaan.