Oleh FLORIETA DIET
KOTA BELUD: Seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama keluarga di Sungai Kadamaian Kampung Pirasan di sini pada petang Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada Ahad, jam 3.58 petang.
Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Kota Belud dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.
“Operasi mencari dan menyelamat hari ini memasuki hari kedua yang turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Marudu, pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.
“Operasi SAR dibuat dengan melakukan pencarian di tepi sungai dan kaedah selaman di lokasi dan pencarian di permukaan air menggunakan bot penyelamat,” katanya.
Sehingga jam 2.25 petang hari ini Muhammad Syazwan ketika dihubungi berkata, mangsa masih belum ditemui.
“Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya.