HomeUtamaUniversiti Malaya Anugerahkan Ijazah Kehormat kepada Recep Tayyip Erdoğan

Universiti Malaya Anugerahkan Ijazah Kehormat kepada Recep Tayyip Erdoğan

Read Time:1 Minute, 17 Second

PUTRAJAYA,Tuanku Canselor Universiti Malaya, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Presiden Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdoğan dalam Istiadat Konvokesyen Khas Universiti Malaya.

Penganugerahan ini adalah berdasarkan kepimpinan cemerlang beliau dalam hubungan diplomatik dan peranan signifikan di pentas antarabangsa. Sebagai Presiden Türkiye sejak 2014 dan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2014, Erdoğan telah memperkukuh hubungan Türkiye dengan kuasa besar dunia serta negara membangun, menjadikan Türkiye sebagai pemain utama dalam isu politik global dan diplomasi dunia Islam. 

Kesemua pencapaian ini selari dengan aspirasi Universiti Malaya dalam mengiktiraf tokoh berwibawa yang memberi impak besar kepada dunia melalui kepimpinan, diplomasi, dan usaha kemanusiaan. Penganugerahan ini bukan sahaja sebagai tanda penghormatan tetapi juga pemangkin kepada usaha universiti dalam mengangkat kecemerlangan akademik dan memperkukuh hubungan antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, dalam ucapannya berkata Universiti Malaya terus komited dalam memperkukuh kecemerlangan global menerusi semangat kerjasama erat, jalinan persahabatan antarabangsa, serta pemeliharaan nilai, norma, dan etika kemanusiaan sejagat.

“Ini selari dengan aspirasi Universiti Malaya untuk membentuk wadah strategik jangka panjang yang memberi impak besar kepada dunia.

“Penganugerahan ini bukan sahaja bermakna dan bersejarah, malah menjadi pemangkin kepada usaha Universiti Malaya dalam mengiktiraf tokoh berwibawa yang menginspirasikan serta memperjuangkan nilai-nilai sejagat,” tambahnya.

Konvokesyen Khas tersebut telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir serta beberapa kenamaan lain. 

RELATED ARTICLES
Utama

OPS Dadu: Aktiviti sabung ayam tumpas, tiga ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular