Beaufort : Sebanyak lebih 3,000 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk yang terjejas banjir di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, meskipun terdapat kekangan terutama bekalan makanan mentah yang tidak mencukupi dari pembekal, namun perkara itu dapat diatasi segera.
“Hari ini (semalam) saya telah meninjau beberapa kawasan yang sebelum ini tidak dilanda banjir. Kita melihat memang mempunyai kesukaran untuk mereka keluar ke pekan dan sudah tentu kita akan melihat bantuan-bantuan bakul makanan.
“Dalam tiga hari ini, InsyaAllah dalam 3,000 keluarga akan menerima bakul makanan dan seterusnya kita akan menyalurkan bantuan-bantuan bakul makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kawasan banjir Zon Gadong di sini semalam.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, antara kawasan terjejas banjir yang terjejas termasuklah Kg Lubak, Kg Lupak, Kg Tuhu Lupak, Kg Beringin, Kg Palai, Kg Patani Gerama, dan Kg Lawa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak yang terlibat dalam membantu menyelamat mangsa-mangsa terjejas banjir di beberapa kampung di Zon Gadong.

Dalam pada itu, Ruslan sekali lagi turut menasihatkan semua supaya sentiasa berwaspada dan bersedia berpindah lebih awal jika keadaan semakin buruk.
“Pasukan keselamatan sentiasa bersedia, namun jika air naik mendadak, usaha menyelamat akan menjadi lebih sukar,” katanya. – SABAH MEDIA