Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina yang menghidu gam kasut sambil mengamuk dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mengganggu ketenteraman awam.
Muktadar Abd Majid, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas kesalahan yang dilakukan pada 7 Februari lalu, kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kampung Lokub, Sepanggar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM25 atau penjara tidak lebih satu minggu jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, seorang pengadu membuat laporan polis selepas mendapati tertuduh menghidu gam di kediamannya di Kampung Lokub, Sepanggar.
Semasa kejadian, tertuduh dilihat memegang plastik berisi gam kasut sambil mengamuk dan mengganggu ketenteraman awam dengan mencari isterinya di rumah pengadu.
Pengadu kemudiannya menghubungi Balai Polis Manggatal untuk meminta bantuan, sebelum tertuduh ditahan pihak berkuasa.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Yusdi Basir, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Sementara itu di mahkamah majistret yang berlainan, seorang pembantu dapur mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri 24 tin minuman keras di sebuah kedai serbaneka, awal bulan ini.
Azizul Maslin, 38, didakwa mencuri 24 tin Guinness Stout berkapasiti 500ml bernilai RM397.60 di sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Jalan Gaya, kira-kira jam 5.15 pagi pada 5 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Dzul Elmy Yunus menetapkan 14 April untuk pengurusan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin tempatan.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis melakukan pendakwaan manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Ming Zoong @ Lawrence mewakili tertuduh.