HomeUtamaMenteri Gagal Jawab Isu Kritikal Industri Padi Beras – Ronald Kiandee

Menteri Gagal Jawab Isu Kritikal Industri Padi Beras – Ronald Kiandee

Read Time:2 Minute, 40 Second

KUALA LUMPUR, Bekas Menteri Pertanian, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menyatakan bahawa penjelasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam sesi penerangan khas di Dewan Rakyat hari ini gagal menangani dua isu utama yang membelenggu industri padi dan beras di Malaysia.

Menurut beliau, jawapan yang diberikan oleh Menteri tidak menjawab persoalan asas berkaitan kehilangan beras putih tempatan serta kebajikan pesawah.

Jaminan Harga dan Manipulasi Beras

Ronald Kiandee mempersoalkan jaminan kerajaan berhubung harga beras putih tempatan yang dijual pada kadar RM2.60 sekilogram serta harga beras import yang kini berada pada kadar RM3.50 sekilogram. Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan manipulasi beras putih tempatan menjadi beras putih import dan dijual pada harga lebih tinggi antara RM3.50 hingga RM4.00 sekilogram.

Tambahnya, pengumuman peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi mengimbangi harga RM2.60 bagi beras putih tempatan akan memberikan keuntungan besar kepada pihak industri yang sebelum ini didakwa telah memanipulasi bekalan beras putih tempatan selama dua tahun.

Terdahulu, Kerajaan bersetuju meminda Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit, sekaligus membendung kegiatan menukar beras tempatan menjadi beras import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohmad Sabu berkata, ini kerana peruntukan seksyen sedia ada di bawah akta itu dilihat masih longgar dan tidak mencukupi dalam membendung kegiatan itu.

“Selepas ini kita akan pergi ke fasa kedua iaitu penguatkuasaan termasuk meminda Akta 522. Dimana kita tahu akta itu begitu longgar sehingga berlaku kegiatan pencampuran beras, (persoalannya) sama ada kita boleh dakwa dimahkamah dan sebagainya.

Beliau turut mengumumkan harga lantai padi adalah dengan pengekalan harga beras tempatan iaitu RM2.60 sekilogram, selain penyelarasan harga lantai padi kepada RM1,500 berbanding RM1,300 sebelum ini.

Pengekalan harga beras tempatan itu menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos pengeluaran 24 juta kampit beras tempatan 10 kilogram berjumlah RM150 juta iaitu bagi tempoh enam bulan ini.

Beban Kos Pesawah Tidak Ditangani

Jelas Ahli Parlimen Beluran itu lagi, peruntukan RM150 juta ini tidak menyelesaikan isu kebajikan pesawah yang terus terbeban dengan 25 faktor kos dalam setiap musim penanaman. Antara kos yang ditanggung termasuk pereputan jerami, pembajakan kering dan masuk air, pembajakan kedua serta ketiga, kawalan perosak, kos benih, penaburan benih, penyelenggaraan sawah, dan kos pengangkutan benih, padi, baja, serta bahan keperluan lain.

Pendapatan Pesawah Tidak Mampu Menampung Kos

Berdasarkan kadar semasa, pesawah menjual padi pada harga RM1,300 per tan dengan hasil lima tan per hektar, memberikan pendapatan kasar sebanyak RM6,500. Dengan tambahan subsidi kerajaan termasuk subsidi bersih RM500, insentif baja RM100 per hektar, dan insentif racun RM200 per hektar, jumlah keseluruhan pendapatan pesawah hanya mencecah RM7,500.

Namun, menurut Ronald Kiandee, pesawah masih mengalami kerugian sebanyak RM200 setiap musim. Jika harga padi ditetapkan pada RM1,500 per tan, pendapatan bersih pesawah adalah sifar. Malah, dengan kenaikan harga kepada RM1,800 per tan sekalipun, keuntungan yang diperoleh hanya sekitar RM1,800 untuk satu musim, atau lebih kurang RM301.17 sebulan.

Persoalan Rasional Harga Padi

Justeru, beliau mempertikaikan rasional kerajaan dalam menetapkan harga padi hanya pada kadar RM1,500 per tan tanpa mempertimbangkan bebanan kos yang ditanggung oleh pesawah.

Katanya, dasar yang lebih adil dan menyeluruh diperlukan bagi memastikan kebajikan pesawah terjamin serta mengelakkan ketirisan dan manipulasi dalam industri padi dan beras negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Pejalan kaki maut dilanggar pacuan empat roda di Jalan Lintas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular