HomeUtamaTiga taman perindustrian bersepadu baharu dibina di Sabah

Tiga taman perindustrian bersepadu baharu dibina di Sabah

Read Time:2 Minute, 13 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan membina tiga taman perindustrian baharu di Sabah, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe.

Taman perindustrian yang akan dibangunkan ialah Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Bersepadu di Kota Belud dan Taman Perindustrian Bersepadu di Beaufort.

Phoong berkata, pembinaan ketiga-tiga taman berkenaan telah dibincang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet Negeri pada Rabu.

“Selepas ini master plan (pelan induk) untuk kawasan terlibat dibuat dan kita akan teruskan pembinaan,” katanya menambah, pembinaan ketiga-tiga taman berkenaan akan berjalan serentak sebaik saja pelan induk bagi ketiga-tiga disiapkan oleh badan-badan yang telah dipertanggungjawabkan.

Jelasnya, Taman Perindustrian Ekonomi Biru dibina di Kudat mempunyai keluasan anggaran sehingga 4,000 ekar. Taman perindustrian itu akan berkonsepkan ekonomi biru seperti yang diaspirasikan oleh ketua menteri Sabah dan kerajaan negeri.

Bagi merealisaikan aspirasi itu, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) telah dipertanggungjawabkan untuk membuat pelan induk dan seterusnya membangun kawasan berkenaan dengan melibatkan konsep yang baharu. Taman ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk jeti pelabuhan.

“Kudat merupakan daerah yang paling miskin di seluruh Malaysia. Sudah tentu kita akan membawa kemajuan ke Kudat agar rakyat dapat peluang pekerjaan yang seperti mana kita berjaya lakukan di KKIP (Taman Perindustrian Kota Kinabalu) Sepanggar. Sebagai persiapan awal, kita juga telah membawa beberapa pelabur melawat di kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan dekat sini, semalam.

Bagi Taman Perindustrian Bersepadu, Kota Belud, KKIP Sdn Bhd telah diberi amanah untuk membuat kajian, pelan induk dan seterusnya melaksanakan pembinaan di kawasan seluas 13,000 ekar.

Taman perindustrian berkenaan akan menjadi one stop centre (pusat sehenti) yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuk bekalan air, bekalan elektrik dan juga kerajaan tempatan.

“Meskipun kawasan itu berbukit tapi kita akan lihat potensi yang ada seperti kemudahan tenaga boleh diperbaharui supaya taman perindustrian ini dapat membekalkan tenaga hijau yang sangat-sangat diperlukan oleh pelabur antarabangsa dan domestik,” tambahnya.

Manakala Taman Peridustrian Bersepadu Beaufort mempunyai keluasan 4,000 ekar. Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) akan menyediakan pelan induk dan melaksanakan kerja-kerja yang seterusnya.

Untuk rekod, sebelum ini telah diumumkan bahawa sebuah taman perindustrian akan dibina di Kimanis namun lokasi pembinaan itu dipindahkan ke Beaufort.

“Kita telah meneliti kesesuaian dan kebolehlaksanaan taman itu di Kimanis. Oleh kerana melibatkan terlalu banyak pemilik tanah dan kita tidak mahu terlalu banyak proses pengambilan tanah seperti cabaran yang telah dilalui dalam projek Pan Borneo .., jadi kita batalkan idea itu di Kimanis dan kita pindah lokasi itu ke Beaufort,” katanya.

Dengan adanya ketiga-tiga taman perindustrian ini sudah memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di kawasan terlibat selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

RELATED ARTICLES
Utama

Monsun Barat Daya bermula Sabtu ini, risiko jerebu meningkat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular