HomeUtamaDJ Dave Dinobat Ikon Masyarakat: 53 Tahun Berbakti, Seni & Kebajikan Seiring

DJ Dave Dinobat Ikon Masyarakat: 53 Tahun Berbakti, Seni & Kebajikan Seiring

Read Time:4 Minute, 19 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Dunia hiburan tanah air sekali lagi menyaksikan kehebatan legenda industri, Datuk DJ Dave, apabila beliau dianugerahkan Ikon Masyarakat oleh Persatuan Wanita Sabah (PEWASA) sempena ulang tahun ke-47 pertubuhan itu.

Anugerah itu diberikan sebagai penghormatan terhadap sumbangan beliau yang selama 53 tahun berturut-turut mengadakan Program Santunan Kasih, membantu anak-anak kurang bernasib baik serta kanak-kanak istimewa setiap kali sambutan hari lahirnya pada 14 Februari.

DJ Dave bersama Anne semasa sidang media.

Presiden PEWASA, Anne Sidik berkata, penganugerahan itu turut mendapat sokongan padu daripada isteri Ketua Menteri Sabah yang juga Yang di-Pertua Pertubuhan Muafakatan Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datin Seri Juliah Salag yang mengakui keikhlasan dan keprihatinan DJ Dave terhadap masyarakat.

“Kami melihat jauh ke dalam hati budi Datuk DJ Dave dan menyedari bahawa beliau layak menerima penghormatan ini. Beliau adalah simbol perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa serta agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Santunan Rumpun Kasih anjuran PEWASA dengan santunan bersama Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, Datuk Irwan Shah @ DJ Dave, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat (14 Feb).

DJ Dave memotong kek bersama Juliah, Anne dan kanak-kanak yang disantuni sempena sambutan Hari Jadi DJ Dave ke-77 di SICC pada Jumaat.

Justeru, bersempena dengan hari jadi DJ Dave yang ke-77 tahun ini, beliau sekali lagi menunjukkan komitmen terhadap kebajikan apabila meraikan hari jadinya bersama 70 orang anak yatim, asnaf, dan orang kurang upaya (OKU) di Sabah.

Kali ini, beliau mengambil pendekatan berbeza dengan menjemput kanak-kanak dari kampung-kampung sekitar, berbanding sebelum ini yang diambil daripada pusat kebajikan.

“Kami fikir kali ini perlu ada kelainan. Saya dan Puan Anne Sidik sepakat untuk menjemput anak-anak asnaf dan OKU dari kampung-kampung yang mungkin tidak berpeluang merasai suasana majlis sebegini,” katanya.

Antara kampung yang dikenal pasti ialah kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Inanam, dengan sokongan daripada pemimpin tempatan dan isteri wakil rakyat Parlimen Sepanggar.

DJ Dave yang ditemani isterinya Mahshid Golabatoonchi pada majlis itu turut menyatakan bahawa tradisi ini akan diteruskan setiap tahun, dengan sokongan penuh daripada PEWASA.

“Setiap tahun, PEWASA menyambut ulang tahunnya. Kali ini, saya mencadangkan agar ia turut diraikan bersama anak-anak istimewa. Alhamdulillah, cadangan ini diterima baik oleh semua,” jelasnya.

Sebagai tanda penghargaan atas usahanya, DJ Dave telah dianugerahkan Ikon Masyarakat oleh PEWASA, sesuatu yang tidak dijangkakannya.

“Saya amat bersyukur dan tidak menyangka akan menerima anugerah ini. Bagi saya, ini adalah satu pengiktirafan atas usaha membantu masyarakat, sesuatu yang saya akan teruskan selagi mampu,” katanya.

Turut berkongsi perjalanan seninya, DJ Dave mendedahkan bahawa minatnya dalam menyanyi bermula sejak 1971 selepas mendapat inspirasi daripada seorang kanak-kanak istimewa.

“Setiap kali saya menyanyi, saya mendapat semangat daripada mereka yang kurang bernasib baik. Ini menjadi dorongan buat saya untuk terus menghibur dan berbakti,” tambahnya.

Meskipun telah lebih 53 tahun dalam industri, beliau masih aktif dan sering mengadakan persembahan, termasuk mengadakan konsert Malam Amal Nostalgia Tempoh Dulu yang berlangsung di SICC di sini, malam tadi (14 Feb).

DJ Dave berduet bersama artis tempatan Dabra Sia pada majlis Malam Amal di SICC malam tadi.

Konsert Amal itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Bagi tahun 2025, DJ Dave merancang untuk meluaskan lagi aktiviti kebajikannya. Kutipan daripada acara amal yang diadakan akan disalurkan kepada lebih ramai penerima manfaat, termasuk 11 artis tempatan yang memerlukan sokongan.

“Kami akan memastikan kutipan ini disalurkan kepada mereka yang layak, dengan sokongan Datuk Seri Hajiji Noor. Ini adalah usaha berterusan bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Dari segi muzik, peminat boleh menjangkakan lagu baru daripada DJ Dave tahun ini, sesuatu yang pasti dinantikan oleh penggemarnya.

“Saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik, bukan hanya dalam kebajikan tetapi juga dalam dunia seni. Selagi ada hayat, saya akan terus berkarya dan menyumbang kepada masyarakat,”tegasnya.

Ketika ditanya mengenai rahsia kekal aktif dan sihat dalam industri hiburan selama lebih lima dekad, DJ Dave menekankan tiga perkara utama iaitu pengurusan masa, kesihatan, dan kewangan.

“Saya mengamalkan disiplin ketat. Jaga suara, elakkan ais dan makanan terlalu masam, serta pastikan badan sentiasa cergas. Saya masih aktif bermain badminton,” katanya.

Menurutnya, kunci kejayaan dalam industri ini adalah tidak mudah berputus asa dan sentiasa mengurus kehidupan dengan baik.

“Ramai artis muda cepat mengalah. Jangan! Jika kita berusaha dan berdisiplin, kita boleh kekal relevan dalam industri ini untuk jangka masa panjang,” ujarnya lagi.

Bukan sekadar penyanyi, DJ Dave juga aktif dalam dunia perniagaan. Selain memiliki restoran terkenal Mother India di Oceanus, beliau turut melibatkan diri dalam sektor perniagaan tenaga boleh diperbaharui.

“Saya percaya pada perniagaan yang bukan sahaja menguntungkan tetapi juga membawa kebaikan kepada alam sekitar. Kini, saya aktif dalam bidang ESG (Environment, Social & Governance) untuk membantu mengurangkan karbon di udara,” jelasnya.

Berkongsi pesanan buat generasi muda, DJ Dave menasihatkan agar sentiasa merancang kewangan dengan baik.

“Apa yang kita miliki hari ini belum tentu kekal esok. Simpan duit, bijak berbelanja, dan jangan terlalu bergantung pada kemewahan sementara. Sediakan payung sebelum hujan,” katanya.

Dengan semangat yang tidak pernah pudar, DJ Dave terus menjadi inspirasi kepada peminat serta generasi baharu dalam industri hiburan tanah air.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji tinjau lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kimanis-Keningau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular