Kota Kinabalu: Kehadiran orang ramai bagi menyaksikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah (MTHQNS) 2025 mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ini terbukti menerusi kehadiran orang ramai yang datang bermula petang Khamis hingga semalam.
“Malam ini (semalam) juga kita lihat dewan ini dipenuhi dengan pengunjung yang ingin mendengar dan menyaksikan para qari dan qariah menyampaikan bacaan masing-masing.

“Ini menunjukkan bahawa ilmu Al-Quran ini sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam khususnya golongan muda.
“Oleh itu saya seru orang ramai untuk datang dan semarakkan MTHQNS ini dengan mengambil manfaat daripada program yang dianjurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Tilawah Al-Quran sesi pertama di Dewan Sa’adah Wisma MUIS, di sini semalam.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agaman Sabah berkata, terdapat pelbagai pameran dan aktiviti menarik di aras bawah Dewan Sa’adah yang boleh dimanfaatkan oleh para pengunjung sepanjang tiga hari majlis itu berlangsung.
“Ketika berada di sini (Wisma MUIS), ambillah peluang mengunjungi para peniaga sebagai sokongan dalam membantu mempromosikan usahawan tempatan selain mengambil ambil peluang untuk menyertai program interaktif Al-Quran anjuran agensi-agensi kerajaan yang mengambil bahagian,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa induk majlis berkenaan turut memuji prestasi para peserta tilawah pada malam tersebut yang disifatkan sebagai sangat baik.
“Saya juga amat berpuas hati dengan persembahan kategori remaja malam semalam, Insya-Allah, hasrat kita untuk menubuhkan Akademi Tahsin Al-Quran Negeri Sabah (AHSANS) akan menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pihaknya sedang meneliti potensi peserta yang layak untuk diserapkan ke dalam akademi tersebut dan akan mendedahkan mereka kepada bimbingan tokoh Al-Quran terkenal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Mungkin kita akan membawa mereka ke beberapa negara untuk mendalami ilmu Al-Quran dengan lebih mendalam,” katanya.
Seramai tiga orang qari dan tiga orang qariah memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam pertama sesi tilawah Al-Quran kategori dewasa yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Negeri Sabah Datuk Norjeli Dais dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Datuk Jumain Abdul Ghani.