Kota Kinabalu : Kumpulan Renewar Band berjaya menjuarai pertandingan Juara Kugiran 2025 yang dianjurkan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu.
Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang berlangsung di Lintasan Deasoka di sini semalam disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan) Faradillah Abdul Rani yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Dengan kemenangan itu, Kumpulan Renewar Band berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000; trofi dan sijil penyertaan selain turut memenangi kategori Vokal Terbaik menerusi vokalis Mohd Azhari Hazalan.
Naib johan pertandingan dimenangi Kumpulan Borneo Inside Groove (BIG) yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000; trofi dan sijil selain mengungguli dua kategori lain iaitu Pemain Keyboard/Piano Terbaik (Individu) dan Gubahan Instrumental Terbaik.

Manakala tempat ketiga dimenangi Kumpulan A. Force yang membawa pulang hadiah wang tunai RM800; trofi dan sijil selain turut mengungguli Pemain Gitar Bass Terbaik (Individu) dan Pemain Dram Terbaik (Individu).
Bagi Pemain Gitar Terbaik (Individu) berjaya dimenangi Azwan Abdul Aziz dari Kumpulan Time Attack.
Selain itu, tiga Kumpulan iaitu Time Attack; Sepi Band dan Triliogi turut dianugerahkan sebagai kumpulan harapan.

Terdahulu, Faradillah ketika membacakan teks ucapan Sabin berkata, objektif utama penganjuran pertandingan itu adalah untuk menggalakkan perkembangan seni muzik di Kota Kinabalu dan mengiktiraf bakat tempatan yang berpotensi.
“Di samping mencungkil bakat baharu, pertandingan ini juga secara tidak langsung membantu masyarakat dan penduduk bandaraya menjana pendapatan melalui kebolehan serta kemahiran muzik mereka.
“Program ini turut mengeratkan hubungan DBKK dengan komuniti setempat, selari dengan hasrat menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya yang progresif, dinamik, dan berbudaya,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK