Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Sabah berharap dapat meraih manfaat daripada pemilikan rasmi syarikat penerbangan AirBorneo oleh Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew.
“Tahniah kepada mereka. Semoga pengambilalihan syarikat penerbangan ini dapat membantu meransang sektor pelancongan Sabah,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada media berhubung pemilikan rasmi AirBorneo.
Christina ditemui media semasa Hari Terbuka dan Sesi Dialog Bersama Agensi Sabah-MM2H di salah sebuah hotel terkemuka sini pada Jumaat.
Menurut Christina, pihaknya sedang giat melaksanakan inisiatif bagi memastikan manfaat yang terbaik untuk negeri ini.
“Kami sedang giat mempromosikan Sabah melalui kementerian saya serta Lembaga Pelancongan Sabah. Saya berharap kita dapat meluaskan lagi promosi ke lebih banyak negara dan menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.
“Kementerian kami sangat unik dan mempunyai pelbagai aspek. Kami menguruskan kawasan pergunungan, laut, hidupan liar dan banyak lagi. Kami komited untuk memastikan setiap usaha yang dirancang dapat dicapai dan memberi manfaat kepada Sabah,” katanya.
Pada Rabu (12 Februari), Sarawak secara rasmi mengambil alih MASwings Sdn Bhd daripada Malaysia Aviation Group (MAG), dengan syarikat penerbangan itu dijenamakan semula sebagai AirBorneo. Pemindahan pemilikan dijangka selesai menjelang akhir tahun 2025.
Kerajaan Sarawak menandatangani perjanjian jual beli dengan MAG bagi pemindahan pemilikan syarikat penerbangan tersebut pada hari yang sama.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, dalam majlis menandatangani perjanjian di Kuching, berkata AirBorneo akan beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, bagi memastikan keseimbangan antara hubungan penerbangan, tambang yang berpatutan dan manfaat ekonomi.
Beliau berkata, syarikat penerbangan baharu ini akan terus menumpukan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) sebelum berkembang ke destinasi dalam lingkungan empat hingga lima jam penerbangan, dan seterusnya memperluaskan jangkauan pada masa depan.
Abang Johari turut memaklumkan kepada media bahawa penubuhan AirBorneo mencerminkan komitmen Sarawak dalam memperkukuh perkhidmatan penerbangan ke kawasan pedalaman serta mengukuhkan kerjasama dengan Sabah.
Beliau juga mengatakan bahawa nama AirBorneo dipilih bagi melambangkan kekuatan serta identiti Borneo di peringkat nasional dan antarabangsa.