HomeUtamaGaris panduan dicadangkan untuk Muslim tidak relevan di Sabah

Garis panduan dicadangkan untuk Muslim tidak relevan di Sabah

Read Time:1 Minute, 57 Second

TUARAN: Keputusan Kabinet Persekutuan untuk membatalkan cadangan garis panduan bagi umat Islam menghadiri acara bukan Islam adalah langkah bijak kerana ia tidak relevan di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya ingin menyatakan di sini bahawa garis panduan yang dicadangkan itu tidak relevan bagi kita. Di Sabah, kita saling menghormati antara satu sama lain.

“Ambil saya sebagai contoh, adalah mustahil untuk saya tidak menghadiri perayaan masyarakat yang berbilang agama dan kaum di Sabah,” katanya.

Berucap pada Festival Angpow yang dianjurkan oleh 10 persatuan Cina dan NGO di Dewan Sri Sulaman, di sini malam tadi, Hajiji berkata ini semua adalah mengenai akidah seseorang Muslim itu sendiri.

“Ketika ipar saya meninggal dunia, saya memberikan penghormatan terakhir di Gereja St Philips, Tamparuli. Itu tidak menjejaskan kepercayaan saya dan tidak menjadikan saya kurang Muslim. Ini semua tentang akidah kita,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan keadaan di tempat lain.

“Di Sabah, kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Ramai di antara kita mempunyai saudara-mara yang beragama berbeza,” katanya.

Ketua Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Cina kerana terus menjadi rakan kongsi dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Bukan itu sahaja, masyarakat Cina juga banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan kita berterima kasih kepada mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar kita,” katanya.

Hajiji berkata, sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Ketua Menteri, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah besar bagi pembangunan sekolah Cina sebagai usaha meningkatkan keseluruhan pendidikan di Sabah.

Tahun lalu sahaja, katanya, Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM480 juta untuk pembangunan modal insan dan pendidikan.

“Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Dahulu, jumlah biasiswa yang diberikan setiap tahun hanya RM50 juta. Tetapi sepanjang pentadbiran saya, kita telah meningkatkannya kepada RM128 juta setahun.

“Kita memberikan biasiswa kepada semua penerima yang layak. Tahun lalu, kita telah memberikan sebanyak RM128 juta kepada 12,000 pelajar,” katanya.

Hajiji menjelaskan, daripada jumlah itu, 5,000 penerima adalah Bumiputera Muslim, 5,000 Bumiputera bukan Muslim, dan 2,000 pelajar Cina.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri kini telah mencapai banyak kejayaan termasuk menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas yang membuka banyak peluang kepada Sabah dalam industri minyak dan gas.

Di samping itu, beliau berkata, inisiatif mesra pelabur yang diperkenalkan oleh Sabah turut menarik banyak pelaburan ke negeri ini.

Beliau berharap masyarakat Cina akan terus menyokong Kerajaan Negeri sedia ada bagi memastikan semua pelan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 600 tetamu meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Tun Musa di Beaufort

Jabatan Meteorologi Malaysia Hujan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular