ASEAN dibawah kepengerusian Malaysia ketika ini dilihat giat menjalankan usaha untuk memperkukuhkan pembangunan melalui strategi penggunaan tenaga yang lebih efisien.
Penganalisis yang juga Pakar Geaostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Azmi Hassan, berkata usaha itu jelas dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bercakap mengenai ASEAN dalam beberapa siri lawatannya ke luar negara sebelum ini.
Perdana Menteri dilaporkan berkata dibawah kepengerusian Malaysia ASEAN keutamaan disasarkan kepada tenaga dan ketersambungan dengan tumpuan membina kepercayaan dan keterangkuman dalam kalangan negara anggota.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 bertajuk “ASEAN, Even Stronger Together” yang dimudahcarakan oleh Presiden WEF, Borge Brende di Davos Switzerland baru baru ini.
Mengulas perkara itu, Azmi berkata, keutamaan terhadap sektor tenaga termasuklah bagi Grid Kuasa Asean (APG) dan teknologi alternatif yang meliputi Indochina, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina serta melibatkan kabel dasar laut dari Sarawak.
“Beberapa negara ASEAN menghadapi kekurangan tenaga, manakala negara lain, seperti Malaysia terutamanya di Sarawak, memiliki lebihan tenaga yang boleh dijadikan sebagai sumber.
“Di Malaysia, Sarawak berpotensi menjadi hab tenaga, bukan sahaja untuk Asia Tenggara tetapi juga bagi rantau Asia Pasifik,” katanya.
Namun katanya, sebelum perkara itu dapat direalisasikan, penyelarasan grid tenaga perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan rantaian bekalan tenaga sentiasa stabil dan positif.
“Dengan wujudnya hubungan grid tenaga yang terselaras, negara-negara ASEAN dapat berkongsi sumber tenaga, terutamanya tenaga elektrik, secara lebih efektif dan bersepadu,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN Azmi berpendapat ia adalah satu detik bersejarah yang bakal dilakar di bawah kepengerusian Malaysia sekaligus menjadi contoh bagaimana ASEAN boleh memakmurkan sesebuah negara.
Beliau berkata, walaupun Timor Leste dianggap agak ketinggalan dari segi pembangunan, penyertaannya ke dalam ASEAN dijangka dapat memberikan manfaat besar.
Katanya, sebagai negara yang berdekatan dengan jiran-jiran ASEAN seperti Indonesia, Filipina, dan Malaysia, Timor Leste berpotensi menjadi contoh bagaimana ASEAN boleh memakmurkan sesebuah negara.
“Timor Leste yang dianggap sebagai negara muda dan baru merdeka di rantau Asia, dikatakan mempunyai sokongan kuat daripada Malaysia dalam usaha untuk menjadi sebahagian daripada ASEAN. Bukan sahaja Malaysia, malah Indonesia, yang pernah menjajah Timor Leste, turut menyokong penyertaannya.
“Tahun ini dilihat sebagai peluang terbaik bagi Timor Leste diterima masuk oleh sembilan negara lain dalam ASEAN. Bagi saya Malaysia sentiasa memberikan sokongan kerana melihat keanggotaan Timor Leste ke dalam ASEAN sebagai situasi menang-menang,” katanya.