HomeIsu tempatanMaritim Malaysia gagalkan cubaan seludup petrol ke negara jiran

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup petrol ke negara jiran

Read Time:1 Minute, 23 Second

Kudat : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat merampas lebih kurang 6,000 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina di perairan Kudat, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung kegiatan itu sekitar jam 4 pagi daripada Unit Risikan Zon Maritim Kudat.

Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, aset ronda Zon Maritim Kudat, Bot ADAL 04 yang sedang dalam rondaan operasi segera diatur gerak ke Lokasi.

“Pada jarak lebih kurang 2.8 batu nautika barat laut Pulau Mandi Darah, bot suspek telah berjaya dikesan iaitu sebuah pam bot sedang bergerak perlahan serta mencurigakan dalam keadaan gelap.

“Semasa bot suspek cuba dihampiri, dua individu bertindak nekad terjun ke kawasan laut cetek dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran. Bot suspek telah berjaya ditahan dan diperiksa.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot berkenaan membawa muatan 30 tong berwarna biru berisi minyak petrol dianggarkan lebih kurang 6,000 liter serta enam tong gas berwarna kuning.

“Kesemua barang terbabit dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap ataupun diseludup ke negara jiran berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Hasbullah berkata, bot serta barang rampasan seterusnya dibawa ke Jeti Marina, Kudat untuk siasatan selanjutnya.

Katanya, keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM60,000.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa muatan Barang Kawalan tanpa permit sah.

“Zon Maritim Kudat memohon orang awam khususnya komuniti maritim di Kudat untuk melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes ini melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

70 ibu tunggal, warga emas terima bantuan bakul makanan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular