Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa menyokong kerjasama Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) bersama agensi Islam di Sabah bagi menjayakan program Untukmu Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, ia termasuklah melaksanakan aktiviti dakwah; pendidikan dan kebajikan di negeri ini.
Katanya, kerjasama itu dilaksanakan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

“Serantau Muslim ini ialah pertubuhan yang bergerak untuk dakwah, pendidikan dan kebajikan yang mengumpul dana untuk membantu masyarakat dan golongan yang memerlukan dan sebagainya.
“Kerjasama antara JHEAINS, MUIS Muslim Serantau ini adalah di sokong, saya ucapkan syabas dan tahniah. Mudah-mudahan ada jalan untuk kita membantu masyarakat yang memerlukannya khusus dalam bidang kebajikan, pendidikan dan dakwah berdasarkan acuan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program Untukmu Sabah di perkarangan Wisma MUIS di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani; Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengerusi Serantau Muslim Mohd Hakim Mohd Nor.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, Serantau Muslim sentiasa memberi maklumat berhubung program dan aktiviti yang dirancang serta bakal dilaksanakan di negeri ini.
“Inilah cara-cara yang terbaik untuk kita melaksanakan program dan aktiviti di negeri Sabah. Kita mengalu-ngalukan siapa pun datang untuk bersama-sama membantu negeri ini dan membantu umat untuk kebajikan, dakwah dan Pendidikan.
“Semoga hubungan baik antara Serantau Muslim yang terkenal dengan bantuan-bantuan mereka di luar negara dapat fokus juga kepada negeri Sabah dengan kerjasama baik antara mereka dengan badan dan agensi agama di negeri Sabah.
“Kita amat mengalu-ngalukan, justeru kerana itu saya juga menyeru kepada syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) , orang-orang persendirian, dermawan untuk turut sama menyumbang bagi pembangunan pendidikan, dakwah dan kebajikan untuk ketiga-tiga badan yang bergabung ini,” katanya.
Terdahulu, Mohd Hakim berkata, sasaran pelaksanaan program Untukmu Sabah akan menyasarkan 34 pusat komuniti serantau yang akan dijadikan sebagai pusat latihan dakwah; pendidikan; latihan keusahawanan dan bantuan kebajikan.
“Selain itu, program ini juga akan turut melaksanakan beberapa program serta pembangunan lain,” katanya. – SABAH MEDIA