HomeUtamaHuffaz wajar diberi nilai tambah, gali potensi diri - Tun Musa

Huffaz wajar diberi nilai tambah, gali potensi diri – Tun Musa

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman melahirkan rasa sukacita apabila semakin ramai golongan remaja atau pelajar berminat dengan pengajian al-Quran.

Katanya, bilangan Pusat Tahfiz Al-Quran kelolaan orang perseorangan dan swasta, juga kini semakin meningkat.

Menurutnya, perkembangan positif itu akan melahirkan generasi yang cakna Al-Qurani dan generasi inilah yang akan  menjadi pemangkin kepada ‘revival’ kegemilangan Islam iaitu  sebagai satu cara hidup yang komprehensif.

“Selaras dengan aspirasi itu, saya mengharapkan agar golongan huffaz di Negeri ini, tidak berhenti setakat berjaya menghafal ayat-ayat suci al-Quran sahaja.

“Para huffaz yang sudah memiliki kemahiran asas menghafal Al-Quran sewajarnya memberi nilai tambah dengan menggali potensi diri.

“Mereka juga mestilah berupaya untuk menghayati dan meneliti secara mendalam ayat-ayat suci Al-Quran yang terhidang dalam 30 juzuk dan 114 surah itu.

“Hikmahnya adalah, untuk membolehkan golongan huffaz berada di barisan hadapan dalam konteks memelihara dan memartabatkan kesucian dan keagungan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri Sabah di Dewan Sa’adah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam.

Tun Musa berkata, perkara yang lebih mendesak di zaman yang penuh cabaran ini ialah, melaksanakan serta menterjemahkan sepenuhnya ajaran al-Quran.

Beliau turut berharap agar umat Islam khususnya di negeri ini, berupaya mengukir tamadun dan kemajuan yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa akan datang.

“Dengan iringan doa dan harapan agar majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan semoga usaha kita dalam menjayakan majlis ini diterima sebagai amal soleh di sisi-Nya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

PM Anwar beri jaminan malaysia tidak akan alami kemelesetan meskipun tarif...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular