Kota Kinabalu : Dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu yang terletak di kawasan persempadanan negara kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2029.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, dua IPD itu masing-masing di daerah Nabawan dan Kalabakan.
“Dengan wujudnya dua IPD ini, ia merupakan sesuatu yang amat penting kerana kedua-dua IPD ini akan berada kawasan persempadanan kita dengan negara-negara jiran.

“Ini sudah tentu akan memberikan kita kelebihan dari segi kekuatan ‘manpower’di kawasan berkenaan dan kita mampu untuk memberikan respon yang segera berkaitan dengan beberapa isu-isu di sempadan yang melibatkan warga daripada negara jiran.
“Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berharap agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah ini mengambil beberapa tindakan drastik dan juga berkekalan dan agresif terutama sekali kes-kes berkaitan dengan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Jauteh berkata, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memberikan penerangan secara ringkas kepada Tun Musa berkenaan beberapa perancangan PDRM dalam usaha memperkasakan persempadanan negeri dan aktiviti-aktiviti PDRM yang lain untuk memberikan gambaran terkini berkaitan Negeri Sabah.
Hadir sama, Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Azmi Abdul Rahim.