Oleh J.EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas gagal memberikan penjelasan memuaskan mengenai wang yang ditemui dalam akaun banknya.
Mohammad Mazuan Ibrahim, 37, didakwa memiliki wang sebanyak RM3,630 yang merupakan milik seorang lelaki dalam akaun miliknya pada 13 Mac 2024. Kejadian itu berlaku sekitar jam 7.39 malam hingga 9.29 malam di Pangkalan TLDM Jalan Mawilla 2, Teluk Sepanggar.
Mahkamah diberitahu bahawa wang tersebut disyaki diperoleh secara curang dan tertuduh gagal menjelaskan bagaimana wang itu diterima.
Susulan itu, Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman denda RM100 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut selepas Mohammad Mazuan mengaku bersalah pada Selasa (18 Feb).
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Bab 80) Negeri Sabah, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh mendakwa dirinya mengalami kesulitan kewangan dan telah memberikan butiran akaun banknya kepada seorang ejen pinjaman wang.
“Saya tidak menerima apa-apa daripada penipuan ini,” katanya di hadapan mahkamah.
Dalam kes berasingan, seorang wanita turut didenda RM100 atau tiga bulan penjara atas kesalahan yang sama.
Zahty Irma Husin, 42, mengaku bersalah memiliki wang berjumlah RM14,722.94 yang ditemui pada 1 November 2023 di Wisma IDS Jalan Lintas.
Sementara itu, seorang lagi lelaki turut didenda RM100 kerana memiliki barangan yang disyaki diperoleh secara curang.
Mohamed Baharom Othman mengaku bersalah memiliki dua rim beserta tayar motosikal jenama Michelin yang dipercayai barang curi. Barang-barang itu ditemui pada 15 Februari 2025 di Kg. Delima Melayu, Manggatal, dan tertuduh gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai pemilikan barang tersebut.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Yusdi Basri.