Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan pelan perancangan sektor pendidikan tinggi di negeri ini terus dilaksanakan sebaiknya agar ianya memenuhi keperluan tenaga kerja dan pembangunan.
Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah-langkah yang tersusun perlu bagi melahirkan bakat, tenaga kerja dan juga golongan berpendidikan bagi membantu usaha pembangunan negeri Sabah secara menyeluruh.
“KPT bertanggungjawab memastikan pembangunan pendidikan tinggi di negeri ini berjalan lancar dengan beberapa institusi di bawah tanggungjawabnya seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Menjadi tumpuan KPT antaranya adalah pembangunan Kolej Komuniti serta institusi pendidikan lain yang dapat memperkasakan modal insan tempatan, seiring dengan keperluan industri dan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di sini hari ini.
Di samping itu, Zambry berkata, terdapat juga perbincangan untuk mewujudkan kursus-kursus tertentu khususnya perundangan di institut pengajian tinggi yang ada di Sabah.
“Kita akan lihat dari segi kursus undang-undang itu apakah pendekatan dan cara yang terbaik untuk kita laksanakan.
“Sama ada kita mempunyai program kerjasama dengan universiti yang sudah sedia ada menganjurkan program undang-undang itu ataupun kalau ada proses lain, kita akan cuba lihat,” katanya.
Tambah Zambry, KPT kini turut meneliti permohonan daripada Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) khususnya dalam usaha meningkatkan status institusi tersebut dan memperluaskan program yang ditawarkan.
“Ini termasuk juga dari segi program yang hendak dilaksanakan dan peningkatan ini termasuk pematuhan terhadap peraturan-peraturan yang diperlukan apabila sesebuah institusi dinaik taraf kepada kolej universiti penuh,” katanya.