Oleh J. EVACHEL JOHN
TAMBUNAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Ragkam, Tambunan memulakan sesi persekolahan 2025 dengan cara tersendiri, membawa pelajar menyelami warisan budaya dan semangat kekitaan.
Sekolah luar bandar ini mencuri perhatian dengan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti ‘tamu’ dan sukan tradisi bagi mencipta suasana pembelajaran positif serta mengeratkan hubungan antara guru, murid dan ibu bapa.
Gambar dan video aktiviti menjadi tular di media sosial, dengan netizen memuji usaha sekolah dalam melestarikan budaya tempatan dan memperkukuhkan perpaduan komuniti.
Guru Besar Hilda Gandial yang juga merupakan Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana berkata program “Sehati Sejiwa SK Ragkam” merupakan inisiatif pihak sekolah dalam membina jati diri murid, memperkukuhkan hubungan antara warga sekolah serta mencipta persekitaran yang ceria dan kondusif.
Katanya, program ini dirancang dengan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 serta prasekolah sepanjang lima hari berturut-turut.
“Objektif utama adalah untuk meningkatkan keterampilan sosial, akademik, dan sahsiah murid melalui pengalaman interaktif.
“Setiap aktiviti dirancang dengan teliti, bermula pada Isnin dengan “Kenali Warga SK Ragkam”, diikuti “Tomu Id Sikul Dagai” pada Selasa. Hari ini (Rabu) kami mengadakan “Warisan Sukan Ragkam 2025” yang dianjurkan oleh PIBG.
“Esok aktiviti akan diteruskan dengan “Ragkam Ceria, Ragkam Gemilang” dan diakhiri dengan “Kelasku Ceria” pada Jumaat,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut Hilda aktiviti sebegini dilaksanakan dengan harapan dapat meningkatkan jati diri, memupuk nilai budaya, dan mengeratkan perpaduan komuniti.
“Penganjuran aktiviti seperti “Tomu Id Sikul Dagai” bertujuan untuk membentuk sahsiah murid yang lebih baik melalui pemerkasaan nilai budaya dan identiti setempat. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah bukan sahaja bertanggungjawab dalam membangunkan kecemerlangan akademik, tetapi juga membentuk individu yang berdisiplin, berakhlak, dan memiliki semangat kebersamaan.
“Salah satu harapan utama pihak sekolah adalah agar murid-murid lebih memahami serta menghayati warisan budaya dan adat resam yang diwarisi oleh masyarakat setempat. Dalam dunia yang semakin moden, banyak nilai tradisional semakin terhakis. Oleh itu, aktiviti sebegini memberi peluang kepada murid untuk mendalami budaya mereka sendiri sambil mengukuhkan rasa bangga terhadap identiti mereka.
“Melalui penglibatan dalam program ini juga murid akan belajar mengenai kepimpinan, kerja berpasukan, serta kepentingan menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Thersia Robin, berkata program ini telah dianjurkan sebanyak dua kali sejak diperkenalkan.
“Kali pertama ia diadakan pada 2023 dengan nama ‘Tamu di Sekolah Kami’. Ketika itu, penganjuran masih terhad kepada murid sahaja di bawah bimbingan guru dan staf sekolah, serta dilakukan secara tertutup berikutan prosedur ketat Covid-19,” katanya.
Namun, pada tahun ini, program ini dilaksanakan secara lebih besar dan terbuka, dengan penyertaan murid, guru, ibu bapa, serta komuniti setempat, termasuk sokongan daripada Kuyungon Economic Center (KEC).
“Apa yang bermula sebagai inisiatif kecil pihak sekolah kini berkembang menjadi sebuah program berimpak besar dalam memupuk sahsiah murid menerusi elemen budaya dan warisan tempatan,” ujar Thersia, yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Ragkam.
Tambahnya, pihak sekolah berhasrat menjadikan “Tomu Id Sikul Dagai” sebagai acara tahunan berikutan impak positif yang telah dicapai sejak ia diperkenalkan.
“Jika dijadikan acara tahunan, program ini boleh dirancang dengan lebih teliti, diperbaiki dari segi pelaksanaan, dan diperkayakan dengan elemen baharu agar lebih menarik serta relevan dengan perubahan zaman, tanpa mengabaikan nilai budaya yang ingin diperkukuhkan.
“Bagaimanapun ia tidak akan diteruskan sekiranya terdapat halangan dari segi kesihatan atau sekiranya aktiviti seperti ini mendatangkan kesan negative terhadap murid, ibubapa dan guru serta masyarakat setempat,” katanya.