HomeUtamaWanita perlu mahir seni pengucapan awam & komunikasi berkesan - Amisah

Wanita perlu mahir seni pengucapan awam & komunikasi berkesan – Amisah

Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh FLORIETA DIET

RANAU: Wanita perlu menguasai kemahiran seni pengucapan awam dan berkomunikasi secara berkesan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Datuk Amisah Yassin.

Katanya, seseorang yang mempunyai kemahiran berkenaan mampu memperkasakan diri agar lebih hebat dalam persaingan serta mempunyai suara yang lebih lantang dalam memperjuangkan hak-hak wanita.

“Seni ucapan bukanlah sekadar menyusun kata-kata indah tetapi melibatkan banyak aspek, antaranya penggunaan bahasa yang tepat, pengucapan yang jelas serta penyampaian yang penuh keyakinan dan emosi.

“Ini bukanlah satu kemahiran yang hanya terhad kepada mereka yang terlibat dalam bidang politik atau media, tetapi ia adalah kemahiran yang amat penting untuk semua golongan wanita yang sering dihadapkan dengan pelbagai cabaran untuk menonjolkan diri dan menyuarakan pendapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Seni Ucapan Berkesan di Dewan Perpustakaan di sini pada Selasa.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah, Marlina Madjid dan peserta kursus.

Tambah Amisah lagi, wanita adalah tonggak kepada keluarga, masyarakat dan negara. Mereka harus memiliki keberanian untuk bersuara dan berkomunikasi dengan baik.

“Kita harus yakin dengan apa yang kita katakan dan tahu bagaimana untuk menyampaikan idea kita agar diterima orang lain. Sebagai wanita, kita juga harus menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Kita tidak boleh hanya berdiam diri dan menunggu peluang datang kepada kita.

“Kita perlu mencipta peluang itu dengan menyuarakan pendapat dan idea-idea bernas melalui komunikasi yang berkesan. Ucapan kita mampu memberi inspirasi, memotivasi dan mengubah persepsi orang lain terhadap sesuatu isu.,” katanya.

“Sebagai wanita yang terlibat dalam politik atau yang beraspirasi untuk ingin terlibat, menguasai seni pengucapan awam adalah salah satu aset paling berharga yang perlu dimiliki,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Top 7 UNK 2024 serlahkan keunikan pakaian tradisi Sabah

Jabatan Meteorologi Malaysia Hujan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular