HomeUtamaSabah teruskan inisiatif bantuan SELASIH

Sabah teruskan inisiatif bantuan SELASIH

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah akan meneruskan bantuan sumbangan berupa inisiatif Sumbangsih Bahasa dan Sastera Sabah (SELASIH) yang diperkenalkan pada tahun lalu kepada persatuan-persatuan penulis di Sabah tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, selain persatuan penulis, bantuan itu turut disalurkan kepada badan yang bergiat dalam bidang sastera dan bahasa yang berdaftar di negeri ini.

“Saya nyatakan bahawa bantuan sumbangan sastera dan bahasa daripada kerajaan negeri seperti tahun lalu akan kita teruskan pada tahun ini iaitu SELASIH. 

“SELASIH ini akan kita sumbang kepada semua persatuan badan penulis atau badan yang bergiat dalam bidang sastera dan bahasa yang berdaftar.  InsyaAllah kita akan bantu seperti mana tahun lalu kita bantu sebahagian daripada persatuan sastera dan penulis di seluruh negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Literasi Kreatif dan Teknologi Sabah di Dewan Amil Jaya Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah di sini hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, penggiat bidang sastera yang aktif dan berdaftar diseru untuk mengambil peluang yang disediakan Kerajaan.

Katanya, jumlah bantuan SELASIH itu adalah berdasarkan keperluan persatuan atau badan penulis yang memerlukan bantuan berkenaan.

“SELASIH kita sediakan insyaAllah berdasarkan keperluan mereka. Biasa RM10,000 kita beri untuk setiap persatuan, sebahagiannya untuk menerbitkan buku, sebahagiannya lagi untuk program mereka dan apabila ada lagi keperluan kita akan bantu juga.

“Pada tahun lalu, ada lebih kurang 10 buah persatuan atau badan penulis berdaftar dan tahun ini saya harap ramailah kalau dapat lebih dari 10. 

“Mudah-mudahan semua dapat,  di Sandakan, di Tawau, di Kudat dan di Kota Kinabalu pun perlu ramai yang bergiat dan kita boleh bantu,” katanya. 

Terdahulu ketika berucap, Arifin turut mengucapkan tahniah kepada Ikatan Penulis Sabah (IPS), DBP Cawangan Sabah dan Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK), atas kejayaan melaksanakan program ini.

“Saya gembira dengan usaha yang diambil oleh IPS dan rakan-rakan kerjasama dalam menyemarakkan gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah menerusi program seperti ini yang menatarkan kepentingan menggabung jalin literasi kreatif dengan teknologi untuk manfaat rakyat dan penduduk Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pejalan kaki maut dilanggar pacuan empat roda di Jalan Lintas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular