HomeSukanLiga Super : Sabah FC, KL City FC kongsi mata

Liga Super : Sabah FC, KL City FC kongsi mata

Read Time:1 Minute, 14 Second

Kota Kinabalu: Sabah FC sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Pada aksi perlawanan itu, Sabah bermula baik apabila berjaya membuat hantaran tepat yang disudahi dengan jaringan pada awal minit permainan.

Situasi pada minit keenam itu bermula dengan hantaran Farhan Roslan yang disambut dengan baik S Kumaahran melalui tandukan yang tepat dihalakan ke gawang Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, aksi skuad Sang Badak kurang menyengat selepas mendahului 1-0 berikutan keadaan padang yang berair dan licin menyebabkan hantaran bola sukar menepati sasaran.

Beralih ke babak kedua, permainan kedua-dua pasukan kelihatan seimbang, namun pemain kelihatan agak kepenatan disebabkan keadaan padang yang agak mencabar.

Kedua-dua pasukan berjaya mencipta beberapa cubaan menarik, namun tiada yang menepati sasaran, mungkin berpunca daripada keadaan licin menyebabkan bola mudah tersasar dari gawang.

Bagaimanapun, pasukan pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerangnya, Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-80.

Kedudukan 1-1 itu membuatkan Sabah tertekan untuk mencari gol kedua ketika masa semakin suntuk, ditambah pula asakan pemain Kuala Lumpur yang juga mahu menambah jaringan.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan termasuk empat minit tambahan masa, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata untuk ditambah dalam carta liga.

Perlawanan malam tadi ditangguhkan kira-kira dua jam berbanding jadual asal yang sepatutnya bermula pada jam 7.15 malam berikutan hujan lebat sejak petang yang menyebabkan padang di Stadium Likas menjadi becak dan licin. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah raih tempat ketiga dalam Kejohanan “Sanda King” Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular