Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) perlu diberi pengiktirafan kerana kejayaannya menghimpun lebih 30 etnik di bawah satu bumbung.
Timbalan Ketua Menteri lll Datuk Ir. Shahelmey Yahya MAGEBS telah melaksanakan misi penting dalam usaha menyatupadukan pelbagai etnik di Sabah.
“Jika diukur dari segi jumlah etnik utama di Sabah yang dianggarkan lebih dari 40 suku terbesar, sebahagian besarnya kini sudah bergabung dalam MAGEBS.
“Penubuhan MAGEBS bukan sahaja sebagai wadah untuk menyatukan pelbagai suara etnik, tetapi juga sebagai portal untuk menyebarluaskan budaya dan warisan kita kepada generasi akan datang,” katanya.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya menjelaskan bahawa walaupun MAGEBS terdiri dari kumpulan etnik yang mempunyai pelbagai fahaman politik, pelbagai suku dan budaya yang berbeza, namun MAGEBS tetap kukuh dan mempunyai kesepaduan yang erat, bekerjasama dan memperjuangkan satu usaha murni.
“Ini kerana MAGEBS adalah lambang perpaduan, keharmonian kepelbagaian budaya di antara etnik Bumiputera di Sabah.
Sementara itu Yang Dipertua MAGEBS Datuk Abdullah Sibil mengemukakan permohonannya kepada kerajaan.
Antaranya ialah memohon ruang pejabat di sekretariat yang dapat digunakan bukan sahaja untuk urusan pentadbiran MAGEBS tetapi juga sebagai pusat aktiviti untuk persatuan-persatuan ahli.
“Kemudahan ini akan menjadi hab pertemuan dan perancangan program-program berkaitan warisan budaya Sabah, memudahkan penyelarasan antara MAGEBS,” katanya.
Menurut Abdullah, MAGEBS juga mengusulkan agar diberi pengiktirafan rasmi sebagai rakan kolaborasi kerajaan dalam usaha memartabatkan warisan budaya Sabah.
“Dengan status ini, MAGEBS dapat bekerjasama secara langsung dengan agensi-agensi kerajaan dalam merancang dan melaksanakan program pemeliharaan dan promosi budaya, sekaligus memastikan kesinambungan dan perkembangan warisan tempatan,” ujarnya.
MAGEBS turut memohon peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta untuk membiayai pelbagai program dan aktiviti berkaitan pemeliharaan dan promosi budaya Sabah.
Abdullah berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk menganjurkan acara kebudayaan tahunan, latihan dan bengkel bagi generasi muda tentang seni dan budaya tradisional, projek penyelidikan dan dokumentasi warisan serta kos operasi harian pejabat MAGEBS.
MAGEBS juga memohon sebidang tanah bagi tujuan pembinaan Pusat Warisan Budaya Sabah yang akan berfungsi sebagai, muzium dan galeri warisan, pusat latihan seni dan budaya, tempat penganjuran acara kebudayaan berskala besar serta pusat informasi pelancongan budaya Sabah.
Selain itu, MAGEBS mencadangkan pelantikan wakil mereka sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator untuk memastikan suara komuniti budaya Sabah dapat diwakili secara langsung dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara. Ini bertujuan untuk memperjuangkan dasar dan polisi yang memberi manfaat kepada pemeliharaan warisan budaya Sabah.
Antara lain, MAGEBS memohon pertimbangan agar wakil mereka dilantik sebagai Pengerusi atau ahli Lembaga Pengarah agensi kerajaan seperti Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan lain-lain.
Ini akan membolehkan MAGEBS terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan program budaya di peringkat negeri.