OLEH – wan Azrain Adnan
Pada tahun 2025, sistem persekolahan di Sabah bakal terus di perkasa menerusi suntikan dana yang besar bagi menambah-baik infrastruktur sekolah, serta insiatif intervensi bagi meningkatkan prestasi pencapaian pelajar.
Dua minggu lepas, semasa Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa di bawah Belanjawan 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan peruntukan berjumlah RM 412.12 juta bagi melaksanakan 181 projek pembangunan semula bangunan daif sekolah-sekolah di seluruh Sabah.
Ini bertujuan agar pelajar dan guru di sekolah-sekolah terbabit dapat menikmati kemudahan asas sekolah yang lebih baik dan selesa, untuk suasana pembelajaran yang lebih kondusif.
Peruntukan dana yang besar ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah untuk memulihkan dan menaik-taraf kemudahan sekolah di Sabah yang usang, tidak mencukupi dan juga tidak selamat.
Malangnya, isu berkenaan sudah berlanjutan untuk tempoh yang lama, melibatkan jumlah sekolah yang tinggi serta jumlah pelajar dan guru yang ramai. Pada bulan Mei 2023, Timbalan Ketua Menteri Sabah melaporkan Sabah memiliki jumlah sekolah daif yang banyak. Data Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) 2022 menunjukkan majoriti 54.5% ataupun 704 sekolah di kategorikan sebagai daif dan memerlukan penambah-baikkan segera.
Selain itu, pada tahun 2020, data menunjukkan banyak sekolah di Sabah memiliki bangunan yang tidak selamat di gunakan, di mana 414 sekolah dengan bangunan berskala enam dan 52 sekolah dengan bangunan berskala tujuh.
Fakta menarik. Berdasarkan penetapan kategori oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), skala enam merujuk kepada bangunan sekolah yang tidak selamat dengan pengesahan dari pihak teknikal Jabatan Pendidikan Negeri. Manakala, skala tujuh pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dari Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ini bermakna begitu banyak sekolah di Sabah memiliki bangunan yang bukan sahaja daif, tetapi tidak lagi selamat di gunakan oleh pelajar dan guru.
Justeru itu, projek penambah-baikkan sekolah berkenaan adalah tepat dan merupakan titik permulaan bagi memperkasa sistem persekolahan di Sabah. Namun begitu, memandangkan jumlah sekolah daif adalah begitu banyak, Kerajaan Malaysia wajar menyediakan lebih dana segera agar semua sekolah di Sabah dapat memiliki infrastruktur yang selesa dan mencukupi bagi kesejahteraan pelajar dan guru. Tidak adil kepada ramai pelajar dan guru untuk terus menunggu lebih lama, dan terpaksa mengharungi suasana pembelajaran yang tidak kondusif.
Di samping itu, menurut Menteri Pendidikan Malaysia, KPM juga melaksanakan projek penyediaan kemudahan teknologi di sekolah-sekolah di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar. Menerusi projek berkenaan, sekolah-sekolah luar bandar Sabah bakal menerima naik-taraf sambungan jalur lebar, dengan peningkatan kapasiti kelajuan minimum daripada 100Mbps kepada 300Mbps ataupun 800Mbps, bergantung kepada keperluan dan ketersediaan perkhidmatan di sekolah terbabit.
Untuk tujuan tersebut, 349 sekolah luar bandar di Sabah telah disenaraikan dan dilengkapkan dengan teknologi fiber, bagi capaian internet yang lebih stabil dan berkualiti. Sebaliknya, sekolah yang tidak dapat menerima sambungan jalur lebar talian tetap kerana sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, sekolah terbabit bakal menerima teknologi alternatif seperti satelit dan gelombang mikro sebagai akses kepada internet.
Penyediaan kemudahan teknologi berkenaan adalah sebahagian daripada agenda KPM untuk memperkukuh pelaksanaan program pendidikan digital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Tambahan lagi, KPM telah merancang pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memastikan pelajar, terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah B40, dapat mengakses peranti yang sesuai bagi memanfaatkan peluang pendidikan digital di sekolah.
Seterusnya, selain pembangunan infrastruktur dan kemudahan sekolah, Menteri Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa KPM turut memberi tumpuan utama untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar di Sabah.
Ketika ini, Sabah menghadapi dua cabaran utama berkaitan prestasi pelajar, iaitu: pencapaian SPM yang sangat rendah dan ramai pelajar tidak hadir menduduki peperiksaan SPM.
Walaupun data menunjukkan Sabah telah merekodkan pencapaian SPM yang bertambah baik, ianya masih meletakkan Sabah di tangga tercorot berbanding dengan semua negeri dan wilayah di seluruh negara:
- SPM 2023: Gred Purata Negeri (GPN) 5.09
- SPM 2022: GPN 5.22
- SPM 2021: GPN 5.35
Sebagai perbandingan, Gred Purata Nasional untuk SPM 2023 adalah 4.60, dengan catatan terbaik oleh Negeri Sembilan (GPN: 4.33). Manakala, Gred Purata Nasional untuk SPM 2022 adalah 4.74, dengan Negeri Sembilan mencatatkan (GPN: 4.50).
Fakta menarik. Indeks Gred Purata Negeri (GPN) adalah mekanisma Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengukur serta menilai pencapaian SPM negeri dan wilayah di Malaysia. Secara ringkasnya, nilai GPN yang rendah mencerminkan pencapaian SPM yang baik.
Selain merekodkan prestasi pencapaian SPM yang rendah, Sabah juga telah merekodkan ramai pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM. Sebagai contoh. Pada SPM 2022, seramai 5,686 (14%) daripada 40,147 calon SPM di Sabah telah tidak hadir menduduki peperiksaan SPM. Jumlah ini merangkumi 19% daripada jumlah 29,663 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara.
Antara lain, punca ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan SPM di Sabah melibatkan isu-isu seperti: tidak berminat untuk belajar, masalah disiplin, masalah keluarga, sudah bekerja dan kemiskinan.
Oleh yang demikian, Menteri Pendidikan Malaysia telah memaklumkan bahawa KPM telah melaksanakan langkah-langkah strategik bagi menangani isu-isu berkaitan prestasi pelajar di Sabah. Ini termasuklah:
inisiatif Program Transformasi Daerah (DTP) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, dengan meningkatkan keupayaan sistem sokongan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah berdasarkan keperluan setempat.
Hasilnya, jurang pencapaian SPM 2023 di Sabah telah berjaya dikurangkan berbanding SPM 2022, di mana Gred Purata Negeri bagi calon bandar bertambah baik dari 5.01 kepada 4.77, dan Gred Purata Negeri bagi calon luar bandar bertambah baik dari 5.37 kepada 5.27.
Sejak tahun 2022, KPM telah melaksanakan program intervensi pendidikan. Bagi tahun 2024, program intervensi berkenaan telah melibatkan 74 sekolah fokus dan 3,566 pelajar, dengan penekanan terhadap enam mata pelajaran teras: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Moral.
KPM melaksanakan program intervensi khusus untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah bagi mengatasi isu calon gagal memperoleh sijil SPM. Sebanyak 40 sekolah di Sabah telah terlibat di dalam program ini, melibatkan 7,226 pelajar Tingkatan 4 dan 6,538 pelajar Tingkatan 5.
KPM telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Unit Pantau MADANI, Kementerian Kewangan Malaysia dan Yayasan Hasanah dalam Program Sokongan Pemulihan Pembelajaran, di mana program pecutan SPM telah dilaksanakan dengan fokus kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Bagi tahun 2025, seramai 1,833 orang murid daripada 49 sekolah di Sabah terpilih dalam Program Anak Kita dan menerima bantuan kit peranti/ tablet selari dengan usaha KPM bagi memastikan tiada murid yang berdepan dengan masalah keciciran pembelajaran.
Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan sokongan serta kerjasama Kerajaan Sabah bakal dapat memperkasa sistem persekolahan di Sabah dalam masa terdekat. Ini mampu memberi lonjakan kepada prestasi pencapaian pelajar di Sabah, dan seterusnya membuka masa depan yang lebih cerah dan meluas kepada pelajar.
Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera.