Putatan : Sebuah padang bola sepak khusus diperlukan di daerah ini bagi melaksanakan program pembangunan sukan selain dimanfaatkan untuk pertandingan bola sepak.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Daerah Putatan Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, pada masa ini padang sedia ada di Majlis Daerah Putatan masih dalam pembinaan dan berlaku sedikit kelewatan penyiapan projek.
“Justeru kita berharap agar bantuan dari Kerajaan supaya dapat memberikan satu padang yang mampu untuk kita membuat pertandingan, latihan dan sebagainya khususnya di kawasan kita ini. Sebab masalah yang paling getir kita hadapi adalah masalah padang.

“Buat masa ini kita menunggu padang di Majlis Daerah Putatan dimana peruntukan telah diturunkan dan padang dibina, tetapi padang ini sepatutnya siap pada tahun ini tetapi mugkin akan ada berlaku kelewatan dan sebagainya.
“Jadi kita harapkan padang-padang yang dibina ini selepas siap ianya dapat dijaga dengan baik supaya komuniti masyaakat Putatan dapat gunakan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Bola Sepak sembilan sebelah terbuka Putatan di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas di sini semalam.
Isquzawan berkata, meskipun terdapat beberapa padang sekolah sekitar daerah ini yang boleh digunakan namun dari segi kemudahan termasuk penyelenggaraan dilihat mempunyai banyak prosedur termasuk peruntukkan.
“Padang sekolah di daerah ini sememangnya ada, namun dari segi kemudahan untuk menyelenggara agak kurang peruntukan dan sebagainya, kita faham sekolah banyak prosedur yang perlu kita lalui untuk menggunakan padang mereka.
“Justeru jika ada kawasan sesuai kita akan berusaha dengan pihak kerajaan dan sebagainya supaya minta padang khas untuk pembangunan bola SAFA daerah Putatan,” katanya. – SABAH MEDIA