Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengemukakan senarai 10 calon wanita dari pelbagai parti komponen dalam gabungan itu untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah akan datang.
Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata 10 calon wanita dari pelbagai parti dalam GRS telah dicadangkan untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan GRS.
“Setelah berbincang sesama kami dalam kalangan Wanita, kami telah mengemukakan 10 nama calon Wanita kepada pucuk pimpinan. Namun keputusan akhir mengenai calon yang sesuai atau sebaliknya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Media di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Ditanya mengenai terdapat calon muka baru yang dicadangkan, Azizah menegaskan bahawa GRS memberi ruang kepada calon muka baru yang berpotensi untuk menang, namun tetap mempertahankan calon berpengalaman.
“Antara strategi kami adalah memberi peluang kepada muka baru, tetapi calon lama yang berpengalaman juga akan dipertahankan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azizah yakin dengan usaha kerja keras berterusan Wanita GRS, yang kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
“Wanita GRS sudah lama bersiap sedia dan terus bekerja, walaupun tidak ditonjolkan sangat, bukan hanya di peringkat besar, tetapi juga di akar umbi, dengan aktiviti yang berjalan secara berterusan setiap hari,” jelasnya.
Sementara itu, pada Majlis Apresiasi Media, Azizah yang juga Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) berkata penulisan media massa sejak dahulu amat penting bagi mengubah pemikiran masyarakat khususnya menyalurkan input-input positif dan membina.
Katanya, kemajuan teknologi yang pesat menuntut media massa untuk lebih bertanggungjawab, jujur, dan amanah.
“Media, seperti yang diungkapkan dalam pepatah ‘mata pena lebih tajam dari mata pedang’, berperanan penting sebagai penghubung antara kementerian dan masyarakat luar bandar, dengan meliputi isu-isu pembangunan yang relevan dan konsisten.
“Oleh itu, wartawan perlu menguasai dasar kerajaan dan isu semasa bagi memastikan kewartawanan berperanan efektif dalam pembangunan negara,” tambah beliau lagi.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Prof Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul dan ahli lembaga pengarah IDS.