Kota Kinabalu : Sebanyak 665 kenderaan telah diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu JPJ Negeri Sabah yang dijalankan di Jalan UMS di sini Sabtu lalu.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Mohd Harris Ali berkata, daripada jumlah tersebut, 155 kenderaan dikenakan tindakan melalui saman Notis manakala bagi kesalahan P22, 145 saman telah dikeluarkan.
“Tiada lesen memandu kompetensi (CDL) merupakan kesalahan paling tinggi yang direkodkan manakala enam buah motosikal dan tiga kenderaan telah disita” katanya pada sidang media semasa Operasi Khas Bersepadu JPJ Negeri Sabah.

Harris berkata, operasi tersebut dijayakan dengan penglibatan 111 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan PDRM Sabah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah.
Dalam sidang media yang sama, Harris turut berkongsi sebanyak 28,183 kenderaan telah diperiksa dalam Operasi Khas Gempur Teknikal di Sabah yang telah berlangsung pada 25 Disember 2024 hingga 20 Februari.
“Sebanyak 5,225 notis saman dikeluarkan yang melibatkan 1,931 kenderaan manakala 16 kenderaan telah disita atas kesalahan melanggar undang-undang jalan raya.
“Antara kesalahan utama yang dikesan adalah, Memandu tanpa lesen vokasional 620 kes, Tiada lesen memandu kompetensi (CDL) 442 kes, Lesen kenderaan tamat tempoh (459 kes), Tiada perlindungan insurans sah (212 kes), Membawa muatan berlebihan (210 kes) dan Membawa muatan berbahaya (200 kes)” katanya.
Selain itu, JPJ Sabah turut berkongsi perkembangan berkaitan tindakan mahkamah terhadap kesalahan di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987 (Akta 334), khususnya membabitkan kesalahan membawa lebih muatan.
“Pada tahun 2024, sebanyak 701 kes LPKP telah direkodkan, dengan 139 kes telah selesai manakala 562 kes lagi masih dalam proses mahkamah dan RM487 700 jumlah denda mahkamah yang telah dikutip bagi kes yang selesai” katanya.
Bagi tahun 2025 pula, sebanyak 12 kes telah selesai dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM22,500 setakat 17 Februari tahun ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa di bawah Seksyen 19(3) Akta LPKP 1987, kesalahan membawa lebih muatan boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Harris berkata, JPJ Sabah akan terus memperketatkan penguatkuasaan terutama menjelang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Unit Keselamatan Jalan Raya akan melaksanakan program advokasi keselamatan bersama pelbagai pihak bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berharap semua pemandu mematuhi peraturan dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.