HomeUtamaBWI mangsa bencana disalur melalui BSN

BWI mangsa bencana disalur melalui BSN

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memudahkan penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana banjir bermula tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah itu juga adalah sebagai satu usaha bagi mengelakkan ketirisan penyaluran bayaran BWI.

“Mulai tahun ini pihak NADMA dan juga Kementerian Kewangan telah mengubah cara pengagihannya dimana ia tidak lagi melalui sistem konvensional iaitu melalui Pejabat Daerah.

“Tetapi kita telah mengadakan rundingan agar senarai mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu akan mendapat BWI ini melalui BSN. Ertinya mereka boleh pergi ke BSN untuk menuntut BWI berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan tapak ke Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kawasan Persekitaran Kawasan Lido Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kerajaan Sabah dan Sarawak turut meminta agar kaedah itu turut dilaksanakan di kedua-dua negeri berkenaan terutama kepada mangsa yang tidak berpindah ke PPS.

“Ada permintaan daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak di mana ada di kalangan mereka yang tidak berpindah tetapi kawasan mereka banjir. 

“Dalam perkara ini kami telah melakukan beberapa urusan melalui tatakelola untuk pengesahan bahawa mereka benar-benar mangsa banjir yang telah terjejas sewaktu Monsun Timur Laut (MTL) dan kita akan dapatkan pengesahan daripada jawatankuasa bencana peringkat Daerah untuk melakukan pengesahan dan kita akan lakukan pengubahsuaian terhadap pelaksanaan itu,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, dua gelombang banjir telah berlaku di Sabah iaitu pada 17 hingga 20 Januari yang melibatkan tiga daerah dan diikuti gelombang kedua pada 27 Januari hingga 16 Februari melibatkan 14 daerah.

Katanya, sebanyak 3,120 ketua isi rumah (KIR) yang melibatkan 9,735 mangsa telah dipindahkan ke 68 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sepanjang tempoh ini.

“Bencana banjir di Sabah ini juga telah mengakibatkan kerosakan beberapa infrastruktur awam seperti jambatan-jambatan gantung di daerah Kota Marudu dan Pitas,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tarif Trump: Malaysia perlu beralih konsep kepada ‘Jenama Tempatan’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular