HomePolitikKepimpinan Hajiji bawa kejayaan, Sabah perlu kesinambungan & kestabilan politik untuk terus...

Kepimpinan Hajiji bawa kejayaan, Sabah perlu kesinambungan & kestabilan politik untuk terus maju – Nizam

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Kenyataan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mempertikaikan seruan Datuk Seri Hajiji Noor agar rakyat memberi peluang terus kepada kerajaan negeri bukan sahaja tidak berasas, tetapi jelas bertujuan mengelirukan rakyat.

Menurut Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, kenyataan itu hanya bertentangan dengan fakta yang jelas menunjukkan Sabah semakin maju di bawah kepimpinan Hajiji Noor dan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Nizam mengulas berikutan kenyataan Ketua Umno Sabah itu baru-baru ini menyatakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tidak perlu rayu dan tagih simpati memohon peluang kedua kepada rakyat untuk melaksanakan program pembangunan jika inisiatif pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berjaya.

Justeru, Nizam menjelaskan, pada tahun lalu Sabah mencatatkan pencapaian membanggakan dengan menerima pelaburan bernilai RM11.34 bilion, termasuk beberapa projek besar yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Hasil negeri juga mengalami peningkatan signifikan, mencapai RM6.9 bilion pada tahun 2023, sekali gus membuktikan keupayaan kerajaan negeri dalam menguruskan ekonomi dengan cemerlang.

“Lebih membanggakan, sektor tenaga dan infrastruktur turut mendapat perhatian utama. Projek solar hibrid berkapasiti 199MW, stesen janakuasa hidroelektrik di Ulu Padas, dan projek BESS (Battery Energy Storage System) berkapasiti 100MW di Lahad Datu telah dilancarkan, bertujuan memastikan seluruh Sabah menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil.

“Langkah-langkah ini tidak hanya membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menunaikan janji, tetapi juga menandakan perubahan nyata dalam pembangunan negeri,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N68 Apas itu menegaskan sikap telus dan realistik Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, jelas berbeza daripada dakwaan “merayu simpati”. Sebaliknya, beliau menekankan bahawa pembangunan dan kemajuan negeri memerlukan kesinambungan dan kestabilan politik untuk mencapai kejayaan lebih besar.

“Mandat rakyat adalah kunci untuk memastikan perancangan yang telah dimulakan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Sabah memerlukan kestabilan untuk mencapai potensi penuh, bukan polemik yang tidak berasas,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Mangsa sindiket penipuan pekerjaan kembali ke pangkuan keluarga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular