Kota Kinabalu: Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) berjaya memperbaiki kedudukan kewangannya dan memberi sumbangan kepada Kerajaan negeri selama dua tahun berturut-turut sebanyak RM600,000 disumbangkan pada tahun lalu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau yakin Ko-Nelayan mampu mengorak langkah yang lebih positif dan terus berusaha untuk mencapai matlamat utama yang telah dirancang.
Beliau turut mengingatkan bahawa bagi mencapai matlamat organisasi bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi untuk mengekalkan kecemerlangan yang dicapai.

“Akan tetapi ianya juga bukan sesuatu yang mustahil untuk diperolehi sekiranya warga Ko-Nelayan terus bekerjasama dan memberikan komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kemampuan Ko-Nelayan dalam mencapai salah satu objektifnya iaitu membantu memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat nelayan di Sabah telah dapat dibuktikan dalam pelaksanaan program dan projek-projek pembangunan negeri,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Ko-Nelayan, Kong Soon Choi; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengurus Besar Ko-Nelayan, Yusof Awang Besar.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri berkata, dengan potensi dan sumber semulajadi yang dimiliki, pihaknya yakin sektor perikanan akan dapat diperkasakan untuk menyumbang melalui pengeksportan hasil tempatan, meningkatkan pendapatan masyarakat nelayan serta mengurangkan kebergantungan negeri kepada import produk perikanan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Ko-Nelayan turut merancang untuk melaksanakan projek pembangunan bercampur di tanah seluas 47.81 ekar di Kuala Inanam, di sini.
Katanya, cadangan projek berkenaan merangkumi pembinaan sebuah kolej vokasional khusus untuk bidang maritim dan perikanan.
Menurutnya, turut dicadangkan dalam projek itu ialah pembinaan ‘fishermen command centre’, pusat penyelidikan marin dan aquaseum serta lot komersial dan perumahan.
Cadangan itu, katanya adalah antara projek ‘flagship’ yang dirancang dibangunkan Ko-Nelayan di beberapa kawasan tanah yang dikenal pasti melalui pendekatan usahasama awam-swasta.
“Ko-Nelayan juga akan membangunkan aset sedia ada seperti tanah melalui pendekatan usahasama awam-swasta,” katanya.
Selain di Kuala Inanam, Jeffrey berkata projek flagship Ko-Nelayan itu turut membabitkan beberapa cadangan projek di kawasan lain, antaranya pembangunan pusat komersial perikanan di tanah seluas 12.5 ekar di Kampung Simunul, Semporna.
Turut dicadangkan, katanya ialah pembangunan ‘bank ikan’ di tanah seluas 164 ekar di Weston, Beaufort dan pembangunan Taman Perindustrian Rumpai Laut di kawasan seluas 118 ekar di Kampung Salimbangun, Semporna.
Jeffrey berkata cadangan projek itu antara yang dirancang selain 32 strategi dan 91 program di bawah Pelan Strategik Ko-Nelayan 2023-2030 bagi membangunkan kumpulan sasar dan industri akuakultur serta perikanan. – SABAH MEDIA