HomeUtamaPelaksanaan projek tebatan banjir dipantau rapi

Pelaksanaan projek tebatan banjir dipantau rapi

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Pelaksanaan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan Jabatan
Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani masalah kejadian banjir akan dipantau dengan rapi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemantauan itu adalah bagi memastikan tiada kelewatan yang boleh menjejaskan usaha mengurangkan impak banjir selepas projek itu siap kelak.

Katanya, Kerajaan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat menitikberatkan isu berkenaan dan komited untuk memastikan setiap projek tebatan banjir dilaksanakan dengan cekap, berkesan, dan mengikut jadual yang ditetapkan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

“Di Sabah, sebanyak 14 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan dilaksanakan. Dua projek tebatan banjir telah siap dan dalam tempoh liabiliti kecacatan, 10 projek sedang dalam pembinaan dan duaprojek dalam fasa pra pelaksanaan.

“Manakala di Sarawak pula, 10 projek tebatan banjir telah dirancang dan dua daripadanya telah siap dibina dan juga masih dalam tempoh liabiliti kecacatan. Dua projek sedang dalam pembinaan dan enam projek adalah adalah fasa pra pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan tapak ke Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kawasan Persekitaran Kawasan Lido Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM22 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan RTB di kawasan yang sering dilanda banjir di seluruh negara.

Katanya jumlah itu merangkumi kawasan yang sedang dikenal pasti untuk pelaksanaan projek berkenaan bagi mengatasi masalah banjir pada masa depan.

“Dengan berlakunya pemanasan global dan perubahan iklim, kita berterima kasih kerana JPS memberikan beberapa unjuran berdasarkan kawasan yang dijangka mengalami masalah banjir.

“Jadi pihak kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif untuk melaksanakan RTB. Di seluruh negara sejumlah RM22 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan RTB.

“Ia meliputi semua kawasan yang sedang dikenal pasti untuk dilakukan naik taraf agar tebatan banjir ini dapat mengelakkan banjir di kawasan yang terbabit,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Restoran popular mohon maaf berhubung dakwaan layanan mengecewakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular