HomeUtamaPelan Pembangunan Strategik Pitas 2024-2035: Perbaiki infrastruktur, ubah landskap ekonomi & sosial

Pelan Pembangunan Strategik Pitas 2024-2035: Perbaiki infrastruktur, ubah landskap ekonomi & sosial

Read Time:3 Minute, 34 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Daerah Pitas, yang dikatakan sebagai salah satu daerah termiskin di Sabah, kini melangkah ke fasa baru dengan pelan pembangunan strategik 2024 hingga 2035.

Pelan ini diharapkan bukan hanya memperbaiki infrastruktur, tetapi juga mengubah landskap ekonomi dan sosial daerah tersebut.

Majlis pelancaran pelan ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas Datuk Seri Dr Ruddy Awah yang turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, dan pihak berkuasa tempatan Pitas.

Ruddy yang juga Pembantu Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah berkata pelan strategik ini adalah langkah proaktif untuk memperkukuhkan sektor-sektor utama seperti pertanian, perikanan, pelancongan, dan infrastruktur asas, bagi mempercepatkan pembangunan daerah Pitas.

“Kami tidak menjanjikan perubahan 100 peratus kepada kemiskinan, tetapi ini adalah usaha jangka panjang untuk membawa Pitas ke arah yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas, Jasamu Dikenang dan Pelancaran Pelan Pembangunan Strategik Daerah Pitas 2024-2035 di sini semalam.

Menurut Ruddy, salah satu fokus utama pelan pembangunan ini adalah sektor pelancongan, dengan Pitas memiliki pelbagai keunikan yang berpotensi besar untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa.

Katanya, antara destinasi menarik yang akan dipromosikan termasuk Batu Supirak, yang merupakan salah satu tarikan semula jadi yang tidak ada di daerah lain, serta Teluk Merudu yang terkenal dengan keindahannya.

“Pitas bukan sahaja terkenal kerana keindahan alam semulajadi, tetapi juga kerana Festival Tahun Baru Cina yang diiktiraf dalam World Records Book sebagai festival terpanjang di dunia. Festival ini telah mengukir sejarah dan menjadi satu-satunya di dunia yang berlangsung selama 10 hari,” jelasnya.

Tambah beliau, festival ini dijangka akan menjadi daya tarikan utama bagi pelancong luar, terutama dari negara China, yang ingin menyaksikan keunikan perayaan tersebut.

“Dengan sokongan daripada kerajaan negeri dan pusat, usaha untuk mempromosikan pelancongan Pitas kini lebih giat dijalankan,” katanya.

Selain pelancongan, beliau berkata, pelan ini turut memberi penekanan kepada peningkatan infrastruktur asas di Pitas.

“Antara projek yang telah diluluskan adalah pembinaan jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman ke bandar utama, bernilai lebih RM80 juta.

” Jalan raya ini dijangka akan meningkatkan aksesibiliti penduduk dan memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan ke seluruh daerah Pitas,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan salah satu projek yang paling dinantikan adalah pembinaan jalan raya di Kampung Telaga dan Jalan Selimpodon-Mantus, yang kini dalam fasa pembinaan.

“Jalan-jalan ini penting kerana ia menghubungkan kawasan yang padat penduduknya dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik, dan pasar raya,” katanya.

Untuk mempercepatkan lagi pemulihan ekonomi, Ruddy berkata, Pitas juga akan menyaksikan pembukaan bank pertama di daerah tersebut, iaitu Agrobank, yang dijadualkan beroperasi pada bulan Jun ini.

“Pembukaan bank ini adalah satu pencapaian besar bagi penduduk setempat yang sebelum ini terpaksa ke bandar utama untuk urusan perbankan. Ini juga adalah langkah positif bagi sektor pertanian dan perikanan, yang merupakan penyumbang utama ekonomi daerah Pitas.

“Selain Agrobank, dua lagi bank, BSN dan Bank Rakyat, turut merancang untuk membuka cawangan mereka di Pitas, dengan jangkaan pembukaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam memastikan kualiti hidup yang lebih baik, pelan ini turut merangkumi usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik.

Meskipun Pitas tidak menghadapi masalah besar berkaitan bekalan air, Ruddy mengakui bahawa cabaran utama adalah memastikan bekalan air yang mencukupi bagi keperluan penduduk dan pertanian.

“Kerajaan pusat dan negeri telah memberi jaminan bahawa masalah air ini akan diselesaikan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun lagi.

“Kami juga bekerjasama dengan pihak berwajib untuk memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem janakuasa yang sedia ada,” tambah beliau lagi.

Justeru, beliau berharap dengan sokongan pelbagai pihak dan perancangan yang lebih terperinci, Pitas kini berada di landasan yang tepat untuk keluar daripada senarai daerah termiskin di Sabah.

Beliau menegaskan bahawa usaha ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak, termasuk penduduk tempatan, untuk memastikan kejayaan pelan pembangunan ini.

“Sebagai wakil rakyat, saya percaya dengan komitmen yang diberikan oleh kerajaan negeri dan pusat, serta sokongan daripada semua lapisan masyarakat, Pitas akan berjaya bangkit dan maju ke hadapan.

“Ini adalah permulaan bagi perubahan yang besar, dan kami akan terus berusaha untuk menjadikan Pitas sebagai daerah yang berjaya dan lebih makmur pada masa akan datang,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu mantan Pegawai Daerah Pitas Nahalan Mehdunah, Pegawai Daerah Pitas yang baharu, Asdi @ Mohd Faizal Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Ts Dr. Ramzah Dambul, dan Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Simiun Lomudin.

RELATED ARTICLES
Dr Jelani (kiri) dan Dr Romzi.
Utama

Hentikan pertikaian sambutan Hari Jadi TYT Sabah, demi imej institusi istana...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular