Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Kebanyakan rakyat Sabah, tanpa mengira umur, sanggup berpindah ke luar negeri sekiranya ditawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM4,999 sebulan.
Malah, majoriti juga mempertimbangkan untuk berhijrah ke luar negara apabila ditawarkan gaji melebihi RM5,000 sebulan.
Dapatan ini didedahkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, semasa Majlis Pelancaran Buku Kajian Aspirasi Pencari Kerja di sini, hari ini.

Di samping itu, kajian mendapati 66.2 peratus rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia cenderung untuk meneruskan kerjaya di lokasi semasa.
“Hasil kajian mendapati bahawa perbincangan mengenai gaji dan upah adalah topik yang sering disentuh oleh responden, yang menekankan keperluan untuk memperoleh gaji yang sepadan dengan kelayakan pendidikan dan kemahiran untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.
“Secara keseluruhan, walaupun terdapat peluang pekerjaan di Sabah, isu ketidaksepadanan antara kelayakan akademik atau kemahiran pencari kerja dengan pekerjaan yang ada masih wujud. Oleh itu, responden mengharapkan agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dengan gaji yang sepadan dengan tahap pendidikan dan kemahiran pencari kerja di Sabah,” katanya.
Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial dan Pembangunan Sosial) Nazaria Baharudin.


Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini melibatkan 1,197 responden Sabah dari pelbagai kawasan dan status pekerjaan bagi tempoh Januari hingga Disember 2024.
Anggaran penduduk Sabah pada tahun 2024 ialah 3.74 juta berdasarkan statistik DOSM.
Kajian ini mengupas aspirasi, harapan, dan cabaran yang dihadapi pencari kerja di Sabah. Ia dilaksanakan bagi menangani kebimbangan terhadap kadar pengangguran di negeri ini, khususnya di kalangan belia dan graduan, serta bertujuan memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai keadaan pasaran buruh di Sabah.
“Tujuan utama kajian ini adalah untuk menganalisis pasaran buruh di Sabah dengan menyediakan gambaran tentang struktur gaji, sektor pekerjaan utama, dan keperluan kemahiran dalam industri tempatan.
“Kajian ini turut menumpukan kepada cabaran dalam mencari pekerjaan pilihan seperti ketidakseimbangan antara gaji dan kos sara hidup, serta ketidakpadanan antara kemahiran pencari kerja dengan keperluan pasaran pekerjaan tempatan,” katanya.
Selain data kuantitatif, kajian ini juga mengintegrasikan data kualitatif dan data pentadbiran bagi memperkukuhkan dapatan kajian menerusi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) bersama pelajar universiti, persatuan belia di Sabah, pekerja, kesatuan sekerja, majikan, dan pegawai kerajaan. Data pentadbiran oleh DOSM dan PERKESO turut digunakan dalam kajian ini.
Menurut Mohd Uzir 96.7 peratus profil responden dalam kajian ini berasal dari Sabah, dengan 71.1 peratus menetap di negeri ini dan 25.9 peratus tinggal di Semenanjung Malaysia.
Dari aspek lokasi, majoriti responden yang terlibat adalah dari Pantai Barat Sabah (64.8 peratus) dan memilih untuk menetap di kawasan yang sama, manakala hampir separuh daripada responden adalah dari Sandakan (48.5 peratus) dan Tawau (45.6 peratus) juga kekal di bahagian masing-masing.
Dari aspek pendidikan, 72.2 peratus responden telah menamatkan pendidikan tinggi, sementara 27.8 peratus hanya memiliki sijil sekolah menengah. Kajian turut mendapati, sebanyak 87.6 peratus responden yang memiliki kelayakan SPM atau setaraf memilih untuk menetap di Sabah, manakala hanya 54.4 peratus daripada responden dengan Ijazah Sarjana Muda memilih untuk kekal menetap di negeri ini.
Mohd Uzir berkata dapatan kajian ini adalah sejajar dengan Laporan Sosioekonomi Negeri Sabah 2023, yang menunjukkan peningkatan kadar migrasi tenaga kerja dari 13.1 peratus pada 2020 kepada 41.9 peratus pada 2022.
Pergerakan tenaga kerja dari bandar ke bandar juga tinggi, mencecah 95.1 peratus pada tahun 2022, khususnya di kawasan pesat membangun Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau. Sebaliknya, pergerakan penduduk dari bandar ke luar bandar hanya 4.9 peratus dalam tempoh yang sama. Selain itu, jumlah siswazah di Sabah meningkat sebanyak 4.9 peratus, daripada 393,700 orang pada 2021 kepada 412,900 orang pada 2022.
Berdasarkan analisis profil pencari kerja di Sabah dan faktor yang mempengaruhi pilihan pekerjaan, tiga intervensi dicadangkan.
Cadangan intervensi pertama adalah strategi pasaran kerja. Ini bertujuan mengharmonikan penawaran dan permintaan buruh dengan menggunakan data pasaran kerja yang tepat, melabur dalam latihan kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, dan memastikan program pendidikan disesuaikan dengan keperluan industri.
Kedua, pengukuhan sektor ekonomi iaitu dengan meningkatkan sektor utama seperti pertanian, perikanan, pelancongan, serta bidang baru seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti.
Ketiga, penambahbaikan infrastruktur. Ini bertujuan memajukan infrastruktur fizikal dan digital, terutama di kawasan luar bandar, bagi memperluas akses kepada peluang pekerjaan dan program latihan, sekaligus merangsang pembangunan ekonomi di seluruh negeri Sabah.
Mohd Uzir menegaskan kajian ini menyoroti kepentingan memahami aspirasi serta cabaran yang dihadapi oleh pencari kerja di Sabah bagi memastikan langkah-langkah intervensi yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
“Melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, Sabah berpotensi membangunkan ekosistem pekerjaan yang lebih mampan dan inklusif, sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.