Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Pegawai-pegawai daerah perlu mendalami ilmu kehakiman agar tindakan yang diambil di setiap perbicaraan di Mahkamah Anak Negeri adalah adil kepada rakyat.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Isnin Aliasnih berkata, suntikan ilmu baharu dalam bidang kehakiman perlu bagi memantapkan dan memperkasakan lagi sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri agar sejajarnya dengan fungsinya.
“Pegawai daerah sebagai hakim Mahkamah Anak Negeri di setiap daerah memainkan peranan penting dalam mengendalikan kes-kes tertentu yang berkaitan dengan undang-undang tradisional masyarakat setempat.
“Kes-kes yang gagal dihakimi di peringkat kampung, ketua anak negeri atau semakan dan rayuan akan dirujuk kepada Mahkamah Anak Negeri. Oleh itu, pegawai-pegawai daerah perlu menghadiri Bengkel Kehakiman dianjurkan oleh kerajaan bagi mendalami ilmu kehakiman.
“Saya mohon kepada pegawai-pegawai daerah supaya hadir menyertai bengkel ini. Kalau tidak dapat hadir sila hantar wakil, jangan anggap krusus ini yang mudah kerana mungkin ada suntikan ilmu yang baharu berdasarkan isu-isu semasa terkini,” katanya ketika dalam sidang media selepas mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Dr Joachim Gunsalam merasmikan penutupan bengkel itu pada Selasa di sebuah hotel dekat sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Nordin Lossin berkata, bengkel itu bertujuan untuk memberi kefahaman dan pengetahuan kepada peserta mengenai bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri, had kuasa dalam pengenalan kes, prosuder penyemakan kehakiman, pendengaran rayuan dan kaedah perlaksaannya terutama dalam penulisan kehakiman.
Tambahnya sebagai seorang hakim perlu bertindak berlandaskan keadilan, kesaksamaan dan mengukuhkan intergriti mereka bagi menjalankan tugas agar kepercayaan masyarakat terhadap intitusi kehakiman akan terus kukuh.