HomePendapatSabah perlukan bekalan elektrik yang lebih stabil

Sabah perlukan bekalan elektrik yang lebih stabil

Read Time:2 Minute, 5 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Cadangan membekalkan tenaga elektrik ke Selatan Filipina melalui Sabah mendapat sambutan positif. Namun, ada pandangan yang menyarankan Sabah agar memberi keutamaan kepada penyediaan tenaga yang mampan untuk kegunaan negeri sendiri terlebih dahulu.

Baru-baru ini, Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, mengesahkan bahawa Sabah kini sudah bersedia dengan grid tenaga yang siap untuk disambungkan dengan Sarawak.

Penyambungan ini akan dipermudahkan selepas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar Sarawak membekalkan lebihan tenaga elektriknya ke Selatan Filipina melalui Sabah mulai tahun depan.

Menurut Madius, perjanjian jual beli elektrik antara Sabah dan Sarawak telah dimeterai, bermula dengan pembelian 30MW tenaga yang dijangka dinaikkan kepada 50MW dalam tempoh lima tahun. Sabah Electricity turut berhasrat untuk meningkatkan kapasiti ini kepada 100MW, selaras dengan keupayaan Sarawak.

Namun, hasil tinjauan Sabah Media mengenai perkara ini, beberapa pihak mengingatkan agar keutamaan diberikan kepada sistem bekalan elektrik di dalam negeri sebelum menyalurkan tenaga ke luar negara.

Mohamad Azmi

Pengerusi Dinamik Teras Bakti, Mohamad Azmi Mohamad Sani, 49, berpendapat bahawa masalah gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku di Sabah perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau menekankan bahawa banyak kawasan pedalaman di Sabah masih belum menerima bekalan elektrik yang stabil.

“Kita perlu memastikan rakyat di negeri ini mendapat bekalan elektrik yang mencukupi sebelum membekalkan tenaga ke luar negara,” kata Mohamad Azmi.

Siti Mahani

Dalam pada itu, Siti Mahani Sidek, 48, Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat & Mesra OKU Sabah, melihat cadangan ini dari sudut positif, dengan potensi memperkukuhkan hubungan antarabangsa antara Malaysia dan Filipina. Ia juga berpotensi membuka peluang perniagaan baru dan menarik pelabur ke Sabah, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Ini juga boleh membawa peningkatan kualiti perkhidmatan tenaga elektrik di kawasan yang sering mengalami gangguan, dan memperbaiki infrastruktur telekomunikasi, terutamanya di kawasan luar bandar,” jelas Siti Mahani.

Damica Kunsiong, 50, dari Tamparuli, berpendapat bahawa sambungan grid ini boleh memberi banyak manfaat, termasuk mengurangkan gangguan bekalan elektrik dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat, terutama di kawasan yang selama ini terjejas bekalan elektrik.

“Kita memerlukan sistem bekalan elektrik yang lebih stabil untuk memastikan akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Nillie Ester

Namun, Nillie Ester Ronny Ignatius, 32, seorang pembantu tadbir, berharap agar projek ini dapat dilaksanakan segera untuk mengatasi gangguan bekalan elektrik yang masih berlaku di Sabah.

Selain itu, beliau berharap kerajaan juga akan terus memberi perhatian kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui kemudahan asas yang lebih baik.

“Harapan saya adalah agar masalah gangguan bekalan elektrik ini dapat diselesaikan dan Sabah dapat mencapai kestabilan tenaga yang lebih baik,” kata Nillie.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan terus perkukuh bantuan sara hidup, SARA diperluas mulai April 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular