Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Jerayawara Dasar Gaji Progresif 2025 merupakan satu inisiatif penting yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memastikan dasar gaji negara terus relevan dengan keperluan semasa.
Ketua Cawangan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) Sabah Hazrullizam Idris berkata, jerayawara ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih mendalam mengenai Dasar Gaji Progresif Malaysia 2025, yang akan memberi manfaat kepada pekerja serta majikan di seluruh negara.
“Penyertaan dalam jerayawara ini bukan sahaja untuk memahami mengenai dasar gaji progresif ini, tetapi juga untuk mendalami bagaimana Dasar Gaji Progresif ini akan memberikan impak positif kepada ekonomi negara dan kesejahteraan pekerja.
“Ia adalah langkah ke hadapan dalam memastikan sistem gaji yang lebih adil, progresif, dan berdaya saing, seiring dengan perkembangan pesat ekonomi negara,” katanya berucap merasmikan Program Jerayawara Dasar Gaji Progresif 2025 di sebuah hotel di sini pagi Khamis.
Jerayawara itu dihadiri seramai 250 peserta yang terdiri daripada orang awam, syarikat berdaftar dan agensi kerajaan.
Hazrullizam juga menjelaskan bahawa dasar ini dirangka bagi meningkatkan taraf hidup pekerja dengan memberikan ganjaran yang setimpal dengan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
Ia akan menyaksikan peningkatan gaji mengikut kemajuan dalam pengalaman dan kemahiran, serta memastikan pekerja mendapat manfaat daripada sumbangan mereka dalam sektor masing-masing.
Tambahnya, Dasar Gaji Progresif bertujuan untuk mempromosikan tiga prinsip utama iaitu Kesejahteraan Pekerja, memberikan gaji yang lebih kompetitif dan berdaya saing untuk memastikan pekerja menikmati kesejahteraan yang lebih baik.
“Pertumbuhan Ekonomi yang Seimbang, meningkatkan daya saing negara dengan meningkatkan produktiviti serta memastikan pekerja diberi pengiktirafan yang setimpal.
“Pemerkasaan Sumber Manusia, menyediakan peluang untuk latihan dan pembangunan kemahiran agar pekerja dapat berkembang seiring dengan keperluan industri,” katanya.
Katanya lagi, dasar ini bukan hanya menguntungkan pekerja, tetapi ia juga memberi faedah besar kepada majikan. Dengan sistem gaji yang lebih telus dan adil, majikan akan dapat menarik pekerja yang berkualiti dan seterusnya meningkatkan produktiviti dan prestasi syarikat mereka.