Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum memuktamadkan atau membincangkan agihan kerusi bagi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Datuk Seri Masidi Manjun.
“Belum ada lagi (mesyuarat mengenai kerusi),” kata Setiausaha Agung GRS merangkap Timbalan Presiden Gagasan Rakyat ketika ditanya mengenai perkembangan terkini di sini, hari ini.
Masidi berkata mesyuarat yang dijadualkan pada Ahad lalu ditangguhkan dan penangguhan itu dibuat atas permintaan beberapa pemimpin yang terlibat dalam sesi persidangan Parlimen.
“Biasanya, jika presiden tidak dapat hadir, timbalannya akan mewakili. Namun, disebabkan mesyuarat ini dianggap penting, mereka mahu hadir sendiri. Justeru, mereka meminta Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk menangguhkan mesyuarat sehingga mereka kembali daripada sidang Parlimen,” jelasnya.
Tanpa mengulas lebih lanjut, Masidi berkata: “Lama lagi pilihan raya”.
Sebelum ini, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa GRS akan mengadakan mesyuarat pada Ahad untuk membincangkan pembahagian kerusi bagi menghadapi bagi pilihan raya negeri akan datang.
Bagaimanapun mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS tersebut telah ditangguhkan.
Sebelum ini, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, yang mengesahkan penangguhan tersebut menyatakan bahawa tarikh baharu akan ditetapkan dalam masa terdekat.