oleh Wan Azrain Adnan
Pengenalan
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang diumumkan baru-baru ini sekali lagi menyerlahkan kelemahan pengurusan dalam banyak agensi kerajaan. Seperti laporan terdahulu, LKAN kali ini juga menunjukkan prestasi buruk dengan jumlah kerugian yang besar, memberi kesan negatif terhadap kedudukan kewangan negara.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 menilai 142 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2023. Hasil audit menunjukkan:
- 94% penyata kewangan berada pada tahap baik mengikut piawaian perakaunan dan audit.
- 133 agensi menerima Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion).
- 9 agensi menerima Pendapat Diubahsuai (Modified Opinion), termasuk 8 dengan Pendapat Berteguran dan 1 dengan Pendapat Bertentangan.
Jenis Sijil | Jumlah Agensi |
Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) | 133 |
Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai (Modified Opinion) | 9 (8 dengan Pendapat Berteguran dan 1 Pendapat Bertentangan) |
Agensi yang Menerima Pendapat Diubahsuai
Fakta menarik. Sijil Ketua Audit Negara terbahagi kepada dua tahap utama, iaitu: Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) dan Pendapat Diubahsuai (Modified Opinion).
Daripada 9 agensi yang menerima Pendapat Diubahsuai, 3 berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia:
- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA)
- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)
LKAN 1/2025 menggambarkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seumpama ‘problem child’ kerana sudah di berikan Pendapat Diubahsuai bagi 3 tahun berturut-turut (2021 – 2023). Malah, LKIM merupakan satu-satunya agensi yang menerima Pendapat Diubahsuai berulang kali berturut-turut.
Malangnya, walaupun syor penambah-baikan telah di berikan kepada LKIM, kesilapan yang sama tetap berulang.

MADA: Kedudukan Paling Lemah
MADA menjadi satu-satunya agensi yang menerima Pendapat Diubahsuai – Bertentangan, meletakkannya di tangga paling bawah antara 142 agensi yang diaudit. LKAN mendapati penyata kewangan MADA mempunyai salah nyata material, termasuk dana hampir RM400 juta yang tidak dapat disahkan.
Peningkatan Geran kepada Agensi Bermasalah
Walaupun berdepan masalah kewangan, LKIM dan MADA tetap menerima peningkatan geran:
- LKIM: naik 22.9% dari RM105.13 juta (2022) kepada RM129.19 juta (2023).
- MADA: naik 26.2% dari RM90.25 juta (2022) kepada RM113.89 juta (2023).
Ini tidak sepatutnya berlaku. Agensi yang mempunyai kelemahan pengurusan tidak wajar menerima peningkatan dana sebelum pembaikan dilakukan.
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
LPP menerima geran ketiga terbesar, iaitu RM1.93 bilion, termasuk RM1.754 bilion untuk Geran Pembangunan dan RM0.176 bilion untuk Geran Mengurus. Namun, LPP masih memiliki baki geran pembangunan RM1.112 bilion tanpa penjelasan jelas mengenai penggunaannya. Ini mengecewakan kerana dana sedia ada tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

PTPTN dan Isu Bayaran Balik Pinjaman
Laporan LKAN turut menonjolkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan masalah tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan.
- Sejak penubuhannya pada 1997, PTPTN telah menyalurkan RM71.310 bilion kepada 3.95 juta peminjam.
- Sehingga 31 Disember 2023, tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM10.853 bilion melibatkan 1.2 juta peminjam.
- Dalam tempoh 2018-2023, tunggakan meningkat sebanyak 71% dari RM6.348 bilion (2018) kepada RM10.853 bilion (2023).
PTPTN tidak lagi menerima dana kerajaan sejak 2002 dan bergantung kepada pinjaman dari institusi kewangan serta penerbitan Sukuk Berjaminan Kerajaan, yang kini mencecah RM41.130 bilion. Jika kutipan bayaran balik tidak berjalan lancar, PTPTN akan mengalami defisit besar yang boleh merosakkan model pembiayaannya.
Kenapa Peminjam Gagal Bayar?
Sekitar September 2024, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia menyatakan bahawa PTPTN akan mengambil tindakan terhadap peminjam yang tidak pernah membayar balik pinjaman, melibatkan kira-kira 430,000 peminjam dan jumlah pinjaman RM 6 bilion.
Situasi ini mungkin berpunca kepada kegagalan ramai peminjam mendapat pekerjaan dengan gaji yang setimpal dengan kelayakan yang di miliki.
Oleh itu, mereka menghadapi kesukaran menjalani kehidupan berkualiti dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi, apatah lagi membayar balik pinjaman PTPTN.
Sebagai contoh. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran kekal tinggi, melebihi 35% dengan melibatkan hampir 2 juta pekerja.
Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiranmerujuk kepada situasi di mana tenaga kerja yang memiliki pendidikan tertiari bekerja di dalam kategori separuh mahir dan kemahiran rendah, ataupun underemployment.
Isu underemployment ini bukahlah sesuatu yang boleh di selesaikan dengan mudah dan pantas. Penyelesaiannya banyak bergantung kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampu menarik pelaburan yang besar secara konsisten. Terutamanya pelaburan yang boleh mewujudkan banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Kesimpulan
Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara diumumkan, rakyat berasa kecewa dengan kelemahan pengurusan dan kerugian besar yang direkodkan. Sampai bila perkara ini akan berulang?