KOTA KINABALU: Sabah Electricity akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengguna yang masih terlibat dengan kes pengusikan pepasangan meter elektrik miliknya.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, pada tahun lalu sebanyak 3,095 kes pengusikan pepasangan meter elektrik telah Berjaya dibongkarkan melibatkan kategori pengguna domestik, komersil dan industri.
Menerusi kenyataannya hari ini, sebanyak 69 operasi bersepadu telahpun dilaksanakan di seluruh Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bersama-sama dengan agensi penguatkuasa lain seperti Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECoS), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setakat bulan Februari 2025, pihak ECoS telahpun membawa Sembilan kes ke mahkamah untuk proses pendakwaan,” katanya.
Mohd Yusmanizam berkata, pada 24 dan 25 Februari 2025, pihak Sabah Electricity dan ECoS telahpun memeriksa lima buah premis sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran kerana disyaki mengusik pepasangan meter elektrik.
“Oleh itu, Sabah Electricity akan membuat tuntutan semula ke atas kerugian hasil sepertimana yang telah diperuntukkan di mahkamah.
“Kes pengusikan meter adalah menjadi kesalahan serius dan pelaku yang terlibat boleh didakwa di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan Akta Bekalan Elektrik 1990,” tambah beliau lagi.