KOTA KINABALU: Berlaku gangguan bekalan elektrik serentak yang berpunca daripada kerosakan kabel utama 33kV di dua lokasi berbeza yang menghubungkan Daerah Telupid dan Beluran pada Khamis.
Gangguan dipulihkan sepenuhnya pada Jumaat jam 8.45 malam.
Kerja-kerja pemulihan bekalan menghadapi cabaran apabila anggota kerja teknikal Sabah Electricity berhadapan dengan kejadian kemalangan melibatkan dua buah lori yang menghalang lalu lintas.
“Kita berterima kasih kepada orang awam yang membantu dengan membawa anggota kerja Sabah Electricity menggunakan motosikal mereka semasa kejadian berlaku,” kata Ketua Pegawai Operasi, Ir.Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.
Menurut beliau makluman berkenaan gangguan bekalan di kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh diterima oleh pasukan teknikal Sabah Electricity pejabat Kawasan Beluran pada jam 9.30 pagi Khamis dan usaha pemulihan dilaksanakan dengan segera dan bekalan berjaya dipulihkan pada jam 10.19 pagi.
“Walau bagaimanapun, sekali lagi bekalan ke dua kawasan tersebut terganggu pada jam 12.46 petang dan hasil pemeriksaan dengan menggunakan Cable Fault Locater (CFL) mendapati terdapat kerosakan kekal ke atas kabel di belakang Bangunan JPJ, Batu 32,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Kerja-kerja pembaikan ke atas kabel yang rosak dilaksanakan agak lama memandangkan tahap kerosakan adalah tinggi dan memerlukan bantuan alat ganti khas.
Bekalan ke seluruh kawasan Beluran berjaya dipulihkan pada jam 11.44 malam pada Khamis kecuali ke kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh.
Bagi kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh, pembaikan ke atas talian 33kv yang rosak menghadapi kesukaran antaranya disebabkan lokasi kerosakan yang jauh, keadaan jalanraya yang tidak berturap dan gelap serta keadaan bentuk muka bumi yang sukar melambatkan pemulihan bagi kedua kawasan ini.
Walaupun menghadapi cabaran-cabaran ini, kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan segera dan bekalan ke kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh dipulihkan sepenuhnya jam 8.45 malam pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohd Yusmanizam berkata kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan elektrik sedang dilaksanakan di Telupid dan Beluran di mana Pencawang Pembahagian Utama (PPU) baharu sedang dibina di Telupid.
“Beberapa projek menaiktaraf sistem juga sedang dilaksanakan dan dijangka akan siap pada September tahun ini,” katanya.