HomeUtamaInisiatif JENDELA bawa manfaat besar kepada rakyat Sabah

Inisiatif JENDELA bawa manfaat besar kepada rakyat Sabah

Read Time:2 Minute, 10 Second

Kota Kinabalu: Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diperkenalkan Kerajaan telah membuktikan bahawa perubahan teknologi berupaya membawa manfaat besar kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Pegawai Digital (CDO) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Ag Asri Ag Ibrahim berkata, ia termasuklah dalam sektor ekonomi, pendidikan, mahupun komunikasi harian.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan kejayaan sepenuhnya, beberapa langkah dan tindakan sewajarnya perlu diambil perhatian.

Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim

“Kerajaan perlu memastikan liputan internet yang lebih meluas di kawasan luar bandar dan pedalaman selain menyediakan lebih banyak program latihan digital kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran mereka.

“Selain itu, Kerajaan perlu menawarkan pakej internet mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah serta menggunakan teknologi satelit untuk kawasan yang sukar dicapai,” katanya kepada Sabah Media di sini.

Katanya, jika semua itu dapat dilaksanakan dengan baik, beliau yakin Sabah akan menjadi negeri yang lebih maju secara digital, di mana setiap rakyatnya mempunyai peluang yang sama untuk menikmati manfaat teknologi dan ekonomi digital yang semakin berkembang.

“Sebagai rakyat Sabah, saya percaya bahawa masa depan negeri ini terletak pada keupayaan kita untuk menyesuaikan diri dengan perubahan digital.

“JENDELA adalah langkah awal ke arah itu, dan saya berharap inisiatif ini akan terus berkembang demi kemajuan semua,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai liputan 4G di Sabah, Ag Asri berkata, sehingga 31 Disember 2024, liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah dilaporkan telah meningkat kepada 94.4 peratus berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA pada tahun 2020.

Peningkatan itu katanya telah membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus kemajuan digital.

“Akses kepada internet yang stabil membolehkan rakyat berkomunikasi dengan lebih lancar, mendapatkan perkhidmatan perbankan dalam talian, serta menikmati pelbagai kemudahan digital yang sebelum ini terhad kepada kawasan bandar sahaja.

“Selain itu, pembangunan infrastruktur ini turut menjadi persediaan awal bagi peralihan ke rangkaian 5G, yang bakal membawa manfaat lebih besar kepada ekonomi dan teknologi tempatan,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan adanya capaian internet yang lebih baik, rakyat Sabah kini berpeluang untuk menceburi pelbagai bidang ekonomi digital.

Antara bidang yang semakin berkembang pada masa ini katanya adalah perniagaan atas talian (e-dagang); pekerjaan dalam ekonomi gig dan pencipta kandungan digital

“Sebagai contoh, seorang usahawan di Kota Belud melaporkan bahawa pendapatannya meningkat sebanyak 200 peratus selepas mendapat akses internet yang lebih stabil.

“Ini menunjukkan bahawa JENDELA bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, tetapi juga membantu meningkatkan ekonomi negeri Sabah.

“Namun, untuk benar-benar memanfaatkan peluang ini, latihan kemahiran digital perlu diberikan kepada golongan muda dan usahawan kecil. Ini termasuk kursus pemasaran digital, keusahawanan atas talian, serta kemahiran teknologi yang boleh membantu mereka bersaing dalam ekonomi digital global,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Emelka Ryner dinobatkan Unduk Ngadau Kaamatan Putrajaya 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular